
GEORGE TOWN: Walaupun terpaksa menempuh hujan lebat sepanjang Larian Warna-warni 2026 (Colourful Run 2026), sejumlah 500 peserta terlibat berjaya menamatkan larian sejauh enam kilometer.
Program anjuran bersama Persatuan Orang Pekak Pulau Pinang (PDA) dan Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) dengan sokongan Majlis Sukan Negeri (MSN) itu turut disertai sebanyak 300 orang pekak termasuk kalangan orang kurang upaya (OKU) fizikal.
Sepanjang progam yang bermula di hadapan Kompleks Paragon Gurney itu, para peserta melalui beberapa batang jalan raya utama termasuk Jalan Gurney di sini.
Larian bertemakan Warna-warni itu antara lain bagi merapatkan komuniti pekak dengan masyarakat umum melibatkan semua kaum, peringkat umur dan tanpa mengira warna kulit.
Terlebih dahulu, para peserta dilepaskan oleh Exco Belia, Sukan dan Kesihatan Pulau Pinang, Daniel Gooi Zi Sen bersama Presiden PDA, Rufaidah Osman. Turut hadir, Presiden Persekutuan Orang Pekak Malaysia (MFD), Mohd. Norhisham Aluwi serta wakil MBPP.
Larian tersebut menjadi tumpuan ramai apabil remaja pekak, Iyad Muhaimin Irrwady Irwan, 18, menjadi peserta pertama berjaya menamatkan larian tersebut.
Selain pengisian larian, program berkenaan turut melibatkan penyertaan beberapa agensi kerajaan dan swasta bagi membolehkan peserta pekak mendapatkan maklumat lanjut.
Antara agensi terbabit ialah Perkeso, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Bahagian Farmasi KMM.
Sementara itu, Rufaidah ketika ditemui memberitahu, program tahunan larian tersebut merupakan kali ke-9 dianjurkan PDA sempena sambutan Hari Orang Pekak Antarabangsa.
“PDA berpuas hati dengan penyertaan 300 pekak serta penglibatan 200 orang dari masyarakat umum kerana setiap tahun jumlah peserta sentiasa bertambah.
“Tema warna-warni ini bertujuan merapatkan komuniti pekak dan masyarakat umum.
“Melalui jumlah penyertaan, menunjukkan masyarakat umum semakin prihatin dengan komuniti pekak yang merupakan sebahagian daripada masyarakat negara kita,” katanya melalui jurubahasa isyarat. –UTUSAN
The post 300 orang pekak antara 500 peserta larian PDA, MBPP appeared first on Utusan Malaysia.






