
GEORGE TOWN – Orang ramai di Pulau Pinang dinasihatkan supaya tidak panik susulan peningkatan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) ketika ini, namun pada masa sama mengambil langkah berjaga-jaga bagi melindungi kesihatan.
Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Alam Sekitar negeri, Datuk Seri S. Sundarajoo berkata, kerajaan negeri mengambil maklum perkembangan terkini kualiti udara susulan peningkatan bacaan IPU yang direkodkan hari ini.
“Stesen Minden dan Balik Pulau menunjukkan trend bacaan IPU tidak sihat dalam tempoh 24 jam, manakala Seberang Jaya dan Seberang Perai pula meningkat daripada tahap sederhana kepada tidak sihat.
“Sehubungan itu, kerajaan negeri menasihatkan orang ramai supaya tidak panik, namun pada masa yang sama mengambil langkah berjaga-jaga, khususnya di kawasan yang mencatatkan bacaan IPU pada tahap Tidak
Sihat,” katanya di sini, hari ini.
Dalam pada itu, beliau turut menasihatkan golongan yang lebih terdedah kepada kesan pencemaran udara seperti kanak-kanak, warga emas, wanita mengandung serta individu yang mempunyai masalah pernafasan supaya mengurangkan aktiviti fizikal berat atau berpanjangan di kawasan terbuka.
“Mereka yang mengalami gejala seperti batuk, kesukaran bernafas, ketidakselesaan dada, sakit tekak atau iritasi mata pula disaran mengurangkan pendedahan kepada udara luar dan mendapatkan rawatan sekiranya keadaan berterusan,” katanya.
Tambahnya, kerajaan negeri menerusi agensi berkaitan akan terus memantau kualiti udara secara berterusan dengan kerjasama Jabatan Alam Sekitar (JAS). – KOSMO! ONLINE
The post Jerebu: Orang Penang jangan panik, kurangkan aktiviti luar appeared first on Kosmo Online.






