
NAYPYIDAW – Myanmar mengesahkan hampir 309,000 Rohingya di Bangladesh sebagai bekas penduduk Rakhine, namun proses penghantaran pulang akan diteruskan selepas keadaan keselamatan di wilayah itu bertambah baik, lapor laman berita Business Standard.
Kementerian Luar Myanmar berkata, seramai 308,797 orang daripada 828,824 nama yang dikemukakan oleh Bangladesh sehingga 31 Julai 2026 disahkan sebagai bekas penduduk Rakhine.
Menurut Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), lebih 700,000 Rohingya melarikan diri ke Bangladesh pada 2017 susulan tindakan keras pasukan keselamatan Myanmar, manakala lebih ramai masih meninggalkan negara itu melalui perjalanan laut dan darat yang tidak menentu.
Myanmar berkata, pihaknya mengenal pasti 4,241 orang dalam senarai penghantaran pulang Bangladesh yang didakwa terbabit dalam aktiviti keganasan, manakala 113,507 lagi tidak dapat disahkan.
Bagaimanapun, penghantaran pulang hanya akan bermula apabila keadaan keselamatan di negeri Rakhine menjadi lebih stabil.
Difahamkan, tentera Myanmar ketika ini sedang memerangi Tentera Arakan, kumpulan bersenjata etnik yang berpangkalan di Rakhine dan menuntut autonomi lebih besar untuk wilayah berkenaan.
Myanmar turut menegaskan bahawa proses penghantaran pulang adalah urusan dua hala yang ketat dengan Bangladesh.
Negara itu menambah, aturan penghantaran pulang sebelum ini pada 2018 dan 2019 tidak menghasilkan kepulangan mana-mana individu meskipun persiapan dua hala dibuat.
Dalam perkembangan berkaitan, Myanmar bersetuju menerima semula 5,000 pencari suaka Rohingya dari Malaysia, namun Malaysia berkata, penghantaran pulang tidak akan diteruskan sekiranya nyawa mereka berisiko. – AGENSI
The post 309,000 Rohingya di Bangladesh boleh pulang appeared first on Kosmo Digital.





