318 pegawai, anggota Polis Johor dihantar bantu PRN Negeri Sembilan

LocalPolitics
30 Jul 2026 • 11:39 AM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: 318 pegawai, anggota Polis Johor dihantar bantu PRN Negeri Sembilan

JOHOR BAHRU: Seramai 318 pegawai dan anggota polis Kontinjen Johor digerakkan ke Negeri Sembilan bagi membantu memastikan kelancaran dan keselamatan proses pengundian Pilihan Raya Negeri (PRN) di negeri itu.

Ketua Polis Johor, Datuk Ab. Rahaman Arsad berkata, penugasan berkenaan adalah sebahagian tanggungjawab polis dalam memastikan proses demokrasi berjalan dalam suasana aman, selamat dan teratur.

“Kontinjen Johor akan membantu Kontinjen Negeri Sembilan dalam memastikan kelancaran PRN bermula hari ini dan dijangka berakhir dua hari selepas selesai proses pengundian.

“Seramai 290 anggota tugas am dan 28 anggota trafik digerak bagi membantu aspek keselamatan serta kelancaran perjalanan PRN Negeri Sembilan,” katanya pada majlis pelepasan petugas di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor, di sini hari ini.

Tambah Ab. Rahaman, Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) serta anggota Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) menerusi Op Cantas turut berada dalam keadaan siap siaga di Johor untuk digerakkan sekiranya perlu.

“Sepanjang penugasan, saya mengingatkan semua anggota supaya mematuhi setiap arahan pegawai pemerintah, mengekalkan sikap neutral dan sentiasa mengutamakan keselamatan.

“Walaupun datang daripada kontinjen dan formasi berbeza, kita tetap bergerak sebagai satu pasukan dengan matlamat memastikan proses pilihan raya berjalan lancar dan terkawal,” katanya.

Dalam pada itu, beliau turut merakam penghargaan kepada seluruh warga polis Kontinjen Johor serta kontinjen luar atas kejayaan mengendalikan PRN Johor Ke-16 secara tenteram dan terkawal.

“Sepanjang tempoh PRN Johor, pihak polis menerima 130 laporan dan membuka 27 kertas siasatan. Ia melibatkan 20 kes khianat bahan kempen di bawah Seksyen 426, 427 dan 435 Kanun Keseksaan, empat kes di bawah Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954, serta masing-masing satu kes Seksyen 500 Kanun Keseksaan, Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan dan Akta Hasutan 1948,” katanya.-UTUSAN

The post 318 pegawai, anggota Polis Johor dihantar bantu PRN Negeri Sembilan appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved