32,810 kes kebakaran hutan, ladang dan belukar sejak 2024 - JBPM

LocalEnvironment
24 Mar 2026 • 12:53 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available
Antara kes kebakaran ladang yang direkodkan JBPM tahun ini. - Foto JBPM
image is not available
Nor Hisham
image is not available
Antara kes kebakaran ladang yang direkodkan JBPM tahun ini. - Foto JBPM

SHAH ALAM - Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) merekodkan 32,810 kes kebakaran hutan, ladang dan belukar sejak tahun 2024.

Ketua Pengarah JBPM, Datuk Seri Nor Hisham Mohammad berkata, jumlah itu direkodkan setakat Februari tahun ini.

Menurutnya, daripada jumlah itu, tahun 2024 merekodkan jumlah paling tinggi iaitu 16,294 kes, tahun 2025 dengan 9,941 kes manakala dua bulan tahun ini dengan jumlah 6,575 kes.

"Mengikut pecahan keseluruhan kategori jenis kebakaran pula, kebun dan ladang mencatatkan 2,150 kes, hutan (3,860 kes) serta belukar dan lalang (26,800 kes).

"JBPM menegaskan supaya orang ramai menghentikan serta-merta sebarang aktiviti pembakaran terbuka," katanya kepada Sinar Harian pada Selasa.

Beliau berkata, berdasarkan trend semasa, hampir 40 hingga 60 peratus panggilan kecemasan semasa musim panas melibatkan kebakaran terbuka seperti kebun dan ladang, hutan serta belukar lalang.

Jelasnya, pekebun dinasihatkan untuk tidak membakar sisa pertanian atau jerami dalam kuantiti besar selain masyarakat disaran elak membakar sampah di belakang rumah atau di kawasan lapang.

**media[3470688]**

Tambahnya, JBPM juga mengenal pasti kawasan berisiko tinggi (hotspot) seperti tanah gambut dan hutan simpan contohnya di Selangor, Perak dan Johor sebagai langkah kesiapsiagaan.

Kata Nor Hisham, pihak bomba memberi amaran bahawa api di bawah tanah gambut sukar dikesan dan boleh marak selama berminggu-minggu jika tidak dikawal awal.

"JBPM kini menggunakan dron secara meluas untuk pemantauan udara bagi mengesan titik panas sebelum api merebak luas," ujarnya.

Dalam pada itu, beliau turut mengingatkan selain kebakaran hutan, cuaca panas juga meningkatkan risiko kebakaran struktur kediaman dan premis.

"Pastikan pendawaian tidak dibebankan (overload) serta elakkan penggunaan soket yang berlebihan kerana suhu tinggi boleh menyebabkan litar pintas.

"Jangan tinggalkan masakan di atas dapur tanpa pengawasan, terutamanya ketika cuaca kering yang memudahkan api marak," ujarnya.

Katanya lagi, pemilik premis perniagaan dan bangunan tinggi diingatkan untuk memastikan sistem kebombaan diselenggara dengan baik.

**media[3470687]**

Kata beliau, JBPM memohon kerjasama masyarakat untuk menjadi 'mata dan telinga' dengan melaporkan awal di talian kecemasan 999 jika ternampak kepulan asap atau punca api kecil di kawasan hutan atau belukar.

"Jika anda ternampak individu melakukan pembakaran terbuka yang mencurigakan, laporkannya kepada Jabatan Alam Sekitar (JAS) di talian 1-800-88-2727.

"Pelaku boleh dikenakan denda sehingga RM500,000 atau penjara sehingga lima tahun atau kedua-duanya di bawah Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974," ujarnya.