JPN Terengganu kenal pasti 39 pusat peperiksaan berisiko banjir

23 Nov 2026 • 1:27 PM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: JPN Terengganu kenal pasti 39 pusat peperiksaan berisiko banjir

KUALA TERENGGANU: Sebanyak 39 daripada 177 pusat peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) bagi tahun ini dikenal pasti berisiko terjejas akibat banjir sepanjang musim Monsun Timur Laut (MTL).

Timbalan Pengarah Pendidikan Terengganu (Sektor Pembelajaran), Wan Zuraidi Che Wan Zaid berkata, bagaimanapun persiapan awal sudah pun dilakukan bagi memastikan peperiksaan berjalan lancar meskipun berdepan kemungkinan hujan lebat dan banjir.

Menurutnya, Operasi (Ops) Payung turut diaktifkan dengan kerjasama agensi berkaitan bagi menyelaras persiapan serta tindakan menghadapi sebarang kemungkinan sepanjang tempoh peperiksaan.

“39 pusat peperiksaan dikenal pasti itu, sama ada sekolah itu sendiri dinaiki air, jalan yang menghubungkan ke pusat peperiksaan terjejas atau rumah calon terlibat dengan banjir.

“Bagi menghadapi situasi itu, kita sudah mengenal pasti pusat peperiksaan alternatif selain menyediakan penempatan di asrama sekolah untuk calon yang berisiko terjejas,” katanya ketika meninjau hari pertama peperiksaan Bahasa Melayu SPM 2026 di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Dato’ Razali Ismail di sini, hari ini.

Jelas Wan Zuraidi, Jabatan Pendidikan Terengganu berpengalaman menghadapi situasi banjir setiap tahun ketika MTL dan bersedia menghadapi sebarang kemungkinan bagi memastikan calon dapat menduduki peperiksaan tanpa gangguan.

Sementara itu, seramai 20,352 calon SPM 2026 di Terengganu mendaftar untuk menduduki peperiksaan di 177 pusat peperiksaan, termasuk enam pusat di hospital.

Daripada jumlah itu, seramai 1,285 calon merupakan calon persendirian, manakala 121 calon berkeperluan pendidikan khas terdiri daripada pelbagai kategori termasuk masalah pembelajaran, kurang upaya pendengaran, penglihatan, fizikal dan ketidakupayaan pelbagai.

Seramai 1,169 guru ditugaskan sebagai petugas peperiksaan, selain dibantu 300 sukarelawan bagi memastikan kelancaran pengurusan peperiksaan yang berlangsung sehingga 17 Disember ini. – UTUSAN

The post JPN Terengganu kenal pasti 39 pusat peperiksaan berisiko banjir appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved