
PONTIAN: Jabatan Pendidikan Johor (JPNJ) mengaktifkan langkah kesiapsiagaan menghadapi kemungkinan banjir sepanjang peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2026 bagi memastikan keselamatan calon serta kelancaran peperiksaan tidak terjejas.
Pengarah Pendidikan Johor, Zulkurnain Abdul Rahman berkata, persiapan awal telah dilaksanakan termasuk mengenal pasti sekolah dan pusat peperiksaan yang berisiko dilanda banjir selain menyelaraskan tindakan bersama Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) serta agensi keselamatan.
Menurutnya, langkah itu penting memandangkan seramai 51,371 calon di Johor telah mendaftar untuk menduduki peperiksaan SPM tahun ini membabitkan 367 pusat peperiksaan di seluruh negeri.
“Kita sudah mengadakan taklimat bersama semua PPD bagi mengenal pasti kawasan berisiko banjir dan maklumat berkaitan telah diselaraskan di peringkat daerah serta negeri.
“Kita juga sentiasa memantau perkembangan cuaca semasa dan bersedia mengambil tindakan segera sekiranya berlaku banjir yang boleh menjejaskan perjalanan peperiksaan.
“Persediaan turut merangkumi kemungkinan terdapat sekolah yang digunakan sebagai pusat pemindahan sementara (PPS) sekiranya berlaku bencana banjir,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa sidang akhbar sempena lawatan dan tinjauan pelaksanaan peperiksaan SPM 2026 di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Dato’ Penggawa Barat, Pontian hari ini.
Zulkurnain berkata, JPNJ turut mengaktifkan empat mekanisme tindak balas bersepadu iaitu Operasi Payung bagi menghadapi banjir, Operasi Topeng untuk situasi jerebu, Operasi Gempa bagi bencana gempa bumi serta Operasi Wabak bagi menangani penularan penyakit berjangkit.
Katanya, langkah berkenaan dilaksanakan dengan kerjasama agensi keselamatan dan kesihatan bagi memastikan kebajikan calon serta petugas peperiksaan sentiasa terpelihara.
“Calon yang terjejas akibat bencana dinasihatkan segera memaklumkan keadaan mereka kepada pihak sekolah, PPD atau JPNJ supaya tindakan sewajarnya dapat diambil.
“Kita mahu memastikan setiap calon berpeluang menduduki peperiksaan dalam keadaan selamat dan teratur walaupun berdepan sebarang kemungkinan bencana,” katanya.
Dalam perkembangan berkaitan, beliau memaklumkan seramai empat calon peperiksaan di SMK Dato’ Penggawa Barat ditempatkan secara berasingan sebagai langkah kuarantin bagi mengelakkan risiko penularan penyakit berjangkit kepada calon lain.
Katanya, tindakan itu dilaksanakan mengikut prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan Lembaga Peperiksaan khususnya membabitkan calon yang mengalami gejala penyakit seperti influenza. – UTUSAN
The post Johor siap siaga hadapi banjir sepanjang SPM 2026 appeared first on Utusan Malaysia.





