
SHAH ALAM, 23 NOV: Kerajaan Negeri akan membantu menguruskan pengangkutan calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang terjejas banjir bagi memastikan mereka dapat hadir ke pusat peperiksaan.
Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Amirudin Shari berkata Jabatan Pendidikan Negeri Selangor sudah mengambil maklum keadaan itu, manakala keperluan pengangkutan calon terbabit akan diselaraskan.
Bagaimanapun, beliau memaklumkan pihaknya masih belum menerima laporan terkini mengenai calon yang terjejas.
“Saya tak dapat laporan lagi, tapi pihak Jabatan Pendidikan memang dah ambil maklum. Daripada lawatan saya (sebelum) itu, memang kita akan uruskan pengangkutan mereka dan sebagainya untuk pergi,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Penyerahan Program Nutrisi Selangor (NutriSEL) SPM di Maahad Integrasi Tahfiz Selangor (MITS) Alam Impian di sini, hari ini.

Amirudin berkata, ketika melakukan lawatan ke Sekolah Kebangsaan Sungai Binjai di Meru sebelum ini, beliau dimaklumkan terdapat dua hingga tiga calon SPM yang terjejas banjir di kawasan berkenaan.
Selain Meru, Amirudin turut melawat kawasan Parit Mahang di Jeram yang dilanda banjir, dengan keadaan terkini dilaporkan bertambah baik apabila paras air mula surut.
Beliau berkata, Kerajaan Negeri juga melihat keperluan membantu proses pembersihan rumah penduduk terutama calon SPM terjejas bagi membolehkan mereka kembali menjalani kehidupan seperti biasa .






