amree12/11/2026 - 15:20 Oleh AMREE AHMAD amree@dagangnews.com KUALA LUMPUR 12 Nov — Sektor swasta semakin mengukuhkan kedudukannya sebagai pemacu utama industri pembinaan negara apabila menyumbang sebanyak RM33.3 bilion atau 67.2% daripada keseluruhan nilai kerja pembinaan pada suku ketiga 2026 (3Q26).
Menurut Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM), prestasi positif tersebut menyumbang kepada peningkatan nilai kerja pembinaan negara kira-kira 9% kepada mencecah sebanyak RM49.5 bilion, berbanding pertumbuhan hanya 8.8% dicatatkan pada suku kedua 2026 (2Q26).
Perkembangan itu didorong terutama oleh subsektor bangunan bukan kediaman yang melonjak 21.1%, diikuti aktiviti pertukangan khas sebanyak 13.2%. Subsektor bangunan kediaman dan kejuruteraan awam masing-masing berkembang 2.7% dan 2.2%.
Dari segi nilai, subsektor kejuruteraan awam kekal sebagai penyumbang terbesar dengan RM16.9 bilion atau 34.1% daripada keseluruhan kerja pembinaan, disokong projek utiliti bernilai RM9.4 bilion serta jalan raya dan landasan kereta api sebanyak RM5.6 bilion.
"Subsektor bangunan bukan kediaman pula merekodkan RM15.7 bilion atau 31.6% daripada jumlah keseluruhan, meningkat berbanding 28.5% pada suku sama tahun lalu, sekali gus merapatkan jurang dengan kejuruteraan awam," kata DOSM dalam kenyataan pada Khamis.
Sementara itu, subsektor bangunan kediaman mencatatkan nilai RM10.7 bilion atau kira-kira 21.7%, manakala aktiviti pertukangan khas menyumbang sebanyak RM6.2 bilion atau 12.6%, termasuk pemasangan elektrik yang mencecah nilai RM1.4 bilion.

Mengikut pemilikan projek, sektor swasta merekodkan pertumbuhan kira-kira 12.7%, iaitu lebih tinggi berbanding 11.4% pada suku sebelumnya, didorong bangunan bukan kediaman yang meningkat 21.8% serta aktiviti pertukangan khas sebanyak 20.9%.
Ujar DOSM, subsektor kejuruteraan awam sektor swasta turut kembali berkembang kira-kira 8.7% selepas menguncup 6.8% pada suku kedua. Bagi sektor awam, nilai kerja pembinaan meningkat 2.2% kepada RM16.3 bilion, merangkumi 32.8% daripada jumlah keseluruhan.
"Mengikut negeri, Selangor mendahului dengan nilai kerja pembinaan RM11.2 bilion atau 22.7%, diikuti Johor sebanyak RM10.1 bilion atau 20.5%, Sarawak RM5.7 bilion atau 11.4% dan Wilayah Persekutuan RM5 bilion atau 10.1%," jelas agensi tersebut.
Keempat-empat kawasan itu secara keseluruhan menyumbang 64.7% daripada nilai kerja pembinaan negara, dengan aktiviti di Selangor banyak disokong pembinaan bangunan bukan kediaman bernilai RM4.5 bilion dan bangunan kediaman RM2.7 bilion.
Bagi tempoh sembilan bulan pertama 2026, nilai kerja pembinaan negara berjumlah RM143.9 bilion, meningkat 8.8% berbanding tempoh sama tahun lalu, dengan pertumbuhan disokong aktiviti pertukangan khas sebanyak 18.3% dan bangunan bukan kediaman 15.8%. - DagangNews.com






