37,000 bakal duduki SPM; 8,200 bagi STPM

31 Oct 2026 • 5:14 PM MYT
Daily Express
Daily Express

Daily Express Online (Malaysia) is Sabah's top-ranked & most viewed English news site. It is also Sabah's leading & most circulated daily English newspaper.

37,000 bakal duduki SPM; 8,200 bagi STPM

Kota Kinabalu: Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Sabah berada pada tahap kesiapsiagaan tertinggi bagi memastikan kelancaran peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) yang dijadualkan bermula tidak lama lagi.

Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri, Abidin Marjan (gambar) berkata, seramai 37,000 calon bakal menduduki SPM manakala 8,200 calon bagi peperiksaan STPM pada tahun ini.

“Pihak JPN sudah membuat persediaan rapi bagi menghadapi Monsun Timur Laut ataupun bencana alam yang lain.

“Kami telah mengadakan mesyuarat dan bekerjasama dengan pelbagai agensi termasuk pihak bomba, polis dan agensi lain bagi memastikan kesiapsiagaan berada di tahap tertinggi.

“Turut dibincangkan perkara-perkara yang melibatkan aspek kebajikan dan penempatan asrama sekiranya berlaku banjir atau bencana,” katanya kepada media selepas mengadakan kunjungan hormat kepada Yang di-Pertua Negeri, Tun Musa Aman di Istana Seri Kinabalu, Khamis.

Beliau turut berkata, antara tujuan lain kunjungan adalah bagi memaklumkan kepada Tun Musa berkenaan pencapaian pendidikan Sabah termasuk pencapaian SPM dan STPM 2025 yang menunjukkan peningkatan dalam gred purata negeri.

Selain itu, beliau turut menzahirkan terima kasih kepada Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dengan penempatan guru baharu bagi sekolah rendah mahupun menengah.

Abidin turut berharap agar pelajar yang bakal menghadapi peperiksaan SPM dan STPM untuk terus fokus dengan pelajaran serta kekalkan disiplin yang tinggi.

“Pihak JPN harap pelajar menggunakan masa yang ada untuk terus membuat ulang kaji selain pengurusan sekolah juga diharapkan sentiasa memberi sokongan motivasi kepada mereka.

“Selain berusaha, pelajar juga perlu memohon doa agar dipermudahkan menjawab semasa peperiksaan,” ujarnya.

Turut hadir, Timbalan Pengarah Sektor Perancangan dan Pengurusan Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Indang Kasi Sibin, Timbalan Pengarah Sektor Pengurusan Sekolah Mohd Fadzli Abd Rozan dan Timbalan Pengarah Sektor Pengurusan Murid, Muddin Beting.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved