
NIBONG TEBAL : Elaun sebanyak RM2,500 untuk pelajar Tingkatan Enam yang bakal menduduki peperiksaan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) akan diberikan bermula pada semester pertama pengajian mereka tahun depan.
Perkara tersebut dimaklumkan oleh Menteri Pendidikan, Datuk Seri Fadhlina Sidek, hari ini.
“Sebaik sahaja pendaftaran anak-anak (pelajar lain) selesai tahun depan, maka, kita akan sampaikan bantuan itu (elaun) kepada pelajar Tingkatan Enam pada semester pertama (pengajian) mereka.
“Jadi, insya-Allah, mereka akan mula mendapat elaun tersebut pada masa itu,” katanya ketika ditemui pemberita selepas merasmikan Program Jelajah Negaraku: Aku Kasih Malaysia di sini, hari ini.
Mengulas lanjut, Fadhlina yang juga Ahli Parlimen Nibong Tebal berkata, memandangkan tempoh pengajian pelajar Tingkatan Enam adalah tiga semester, maka, mereka akan mendapat elaun berjumlah lebih RM800 pada setiap semester pengajian.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika membentangkan Belanjawan 2027 baru-baru ini mengumumkan bahawa elaun sara hidup sebanyak RM2,500 akan diberikan kepada pelajar Tingkatan Enam bermula tahun depan.
Katanya, pemberian elaun yang akan memanfaatkan kira-kira 90,000 pelajar itu menyamai kadar elaun yang diberikan kepada pelajar matrikulasi ketika ini.-UTUSAN
The post Elaun Tingkatan Enam diberi bermula semester pertama – Fadhlina appeared first on Utusan Malaysia.






