Dapat semua A SPM, TPM Zahid arah FELCRA tanggung yuran pengajian hingga tamat

29 Oct 2026 • 2:05 PM MYT
Oh My Media
Oh My Media

A digital platform emphasizing quality content and inspirational stories.

Anak-anak peserta FELCRA yang memperoleh keputusan semua A dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Purata Nilai Gred Kumulatif (PNGK) 4.00 dalam Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) bakal menerima tajaan penuh yuran pengajian sehingga tamat pengajian.

Arahan diberi kepada FELCRA Berhad

Memetik laporan daripada Astro Awani, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi menyatakan, arahan itu diberikan kepada FELCRA Berhad bagi memastikan kekangan kewangan tidak menjadi penghalang kepada masa depan anak-anak peserta yang cemerlang dalam akademik.

“Saya mengarahkan Pengerusi FELCRA Berhad, ahli dan pengarah, CEO dan pengurusan kanan untuk menanggung sepenuhnya yuran pengajian anak-anak FELCRA sehingga tamat pengajian bagi mereka yang memperoleh semua A dalam SPM dan juga kepada anak-anak FELCRA yang memperoleh PNGK 4.00 dalam STPM,” katanya.

Image from: Dapat semua A SPM, TPM Zahid arah FELCRA tanggung yuran pengajian hingga tamat

Beliau berkata demikian ketika Majlis Pengisytiharan Agihan Keuntungan Boleh Agih Interim 2/2026 Projek-Projek Peserta FELCRA Berhad di Dewan Mansor Shah, Melaka International Trade Centre (MITC), Melaka, pada Khamis.

Pendidikan dan kemahiran pelaburan penting

Menurut Ahmad Zahid, pendidikan dan kemahiran merupakan pelaburan penting untuk membantu generasi seterusnya membina pendapatan sendiri, selain membuka lebih banyak peluang pekerjaan dan keusahawanan.

Sehubungan itu, beliau berharap kerjasama antara Kolej FELCRA, institusi latihan dan pihak industri terus diperkukuh bagi melahirkan tenaga kerja mahir, khususnya dalam sektor perladangan dan teknologi pertanian.

“Saya harap mereka yang keluar daripada Kolej ini ataupun institusi TVET FELCRA ini akan diberikan gaji premium, gaji yang melebihi daripada gaji minimum… insya-Allah gaji premium mereka melebihi daripada RM3,000 sebulan,” katanya.

Image from: Dapat semua A SPM, TPM Zahid arah FELCRA tanggung yuran pengajian hingga tamat

Dalam perkembangan sama, Ahmad Zahid turut mengarahkan FELCRA menyediakan bantuan khas kepada peserta kategori B40 yang terlibat dalam program tanam semula, khususnya menjelang sambutan Aidilfitri tahun depan.

Ujarnya, bantuan tersebut bertujuan memastikan kebajikan peserta terus terpelihara sepanjang tempoh menunggu tanaman mengeluarkan hasil, sekali gus membantu meringankan beban kewangan mereka.

Sumber: Astro Awani (Shafiqa Azami)

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved