
PETALING JAYA: Seramai 37,313 pendatang asing tanpa izin (PATI) ditangkap Jabatan Imigresen (JIM) menerusi 10,374 operasi penguatkuasaan di seluruh negara bagi tempoh 1 Januari hingga 29 September lalu.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, sepanjang tempoh sama, 137,603 individu diperiksa dalam pelbagai serbuan dan operasi yang dijalankan di lapangan.
Katanya, 1,809 majikan turut ditangkap dengan 1,692 daripadanya merupakan warganegara yang didapati bersubahat menggaji dan melindungi PATI.
“Penguatkuasaan tidak boleh hanya tertumpu kepada PATI tetapi mesti turut sampai kepada pihak yang menggaji, melindungi dan mengambil kesempatan daripada kewujudan mereka,” katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini.
Saifuddin berkata, peningkatan tangkapan majikan berbanding tahun-tahun sebelumnya membuktikan pendekatan penguatkuasaan turut menyasarkan pihak yang menggaji dan melindungi PATI.
Katanya, jumlah majikan yang ditangkap meningkat daripada 346 orang pada 2023 kepada 1,859 (2024), 2,202 (2025) dan 1,809 orang sehingga September tahun ini.
“Isu PATI merupakan masalah legasi yang sekian lama membelenggu negara akibat kelonggaran dan ketirisan dalam sistem pentadbiran terdahulu.
“Ruang dan kelemahan yang wujud telah dieksploitasi sindiket haram serta majikan tempatan yang tidak bertanggungjawab sehingga mencetuskan ancaman sosial, ekonomi dan keselamatan kepada rakyat Malaysia.
“Saya tidak mahu masalah yang telah berlarutan sekian lama ini terus menjadi beban yang diwariskan kepada generasi seterusnya,” katanya.
Menurutnya, Kementerian Dalam Negeri (KDN) akan terus mengambil pendekatan ofensif menerusi operasi harian tanpa henti di seluruh negara.
Katanya, penguatkuasaan berkenaan bukan operasi bermusim dan tidak hanya dilakukan apabila sesuatu isu menjadi perhatian.
“Tanpa mengira siapa atau apa kedudukan mereka, KDN dan JIM akan terus memutuskan rantaian salah guna ini demi memelihara kedaulatan dan keselamatan tanah air,” katanya.
Saifuddin berkata, warga asing yang mahu bekerja atau melawat Malaysia wajib menggunakan saluran undang-undang yang sah.
“Sebarang pencerobohan, pemalsuan dokumen atau tinggal lebih masa akan diburu dan tindakan undang-undang akan diambil tanpa kompromi,” katanya.
Beliau turut memberi amaran kepada majikan Malaysia supaya tidak menggaji atau melindungi PATI demi mengaut keuntungan mudah kerana tindakan itu menyumbang kepada ancaman terhadap keselamatan negara.
“Jangan sesekali lindungi PATI. Bersama-sama kita bantu KDN dan JIM menyelesaikan krisis ini demi masa depan anak cucu kita.
“Isu PATI bukan sekadar soal imigresen, sebaliknya turut memberi kesan kepada ekonomi, keselamatan dan ketenteraman sosial.
“Insya-Allah, saya akan terus menerajui usaha KDN dan imigresen dalam menoktahkan isu PATI dan hasilnya mesti dapat dilihat serta dirasai rakyat,” katanya. – UTUSAN
The post 37,313 PATI, 1,809 majikan ditangkap tahun ini appeared first on Utusan Malaysia.






