37,000 PATI, lebih 1,800 majikan ditahan sehingga September

3 Oct 2026 • 12:06 PM MYT
Kosmo Online
Kosmo Online

Hub berita berintegriti dan sensasi dalam dan luar negara.

Image from: 37,000 PATI, lebih 1,800 majikan ditahan sehingga September

PETALING JAYA – Seramai 37,313 pendatang asing tanpa izin (PATI) ditahan Jabatan Imigresen (JIM) menerusi 10,374 operasi penguatkuasaan di seluruh negara bagi tempoh 1 Januari hingga 29 September lalu.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, operasi berkenaan menyaksikan seramai 137,603 individu diperiksa.

“Penguatkuasaan tidak boleh hanya tertumpu kepada PATI, tetapi mesti turut sampai kepada pihak yang menggaji, melindungi dan mengambil kesempatan daripada kewujudan mereka,” katanya dalam hantaran di Facebook hari ini.

Sehuhungan itu, beliau berkata, seramai 1,809 majikan turut diambil tindakan, dengan 1,692 daripadanya merupakan warganegara Malaysia.

Katanya, Kementerian Dalam Negeri (KDN) bersama JIM akan meneruskan operasi penguatkuasaan secara berterusan di seluruh negara dan tidak menjadikannya sebagai operasi bermusim.

“Saya mahu KDN bersama JIM terus mengambil pendekatan ofensif menerusi operasi harian tanpa henti di seluruh negara.

“Tanpa mengira siapa atau apa kedudukan mereka, KDN dan JIM akan terus memutuskan rantaian salah guna ini demi memelihara kedaulatan dan keselamatan tanah air,” ujarnya.

Dalam pada itu, Saifuddin mengingatkan warga asing supaya mematuhi semua peraturan imigresen dan menggunakan saluran undang-undang yang sah untuk bekerja atau berada di Malaysia.

Beliau turut memberi amaran kepada majikan tempatan supaya tidak menggaji atau melindungi PATI bagi mendapatkan keuntungan.

“KDN dan JIM sedang memburu pihak yang terlibat, tiada lagi ruang untuk berselindung daripada tindakan undang-undang,” katanya. – KOSMO! ONLINE

The post 37,000 PATI, lebih 1,800 majikan ditahan sehingga September appeared first on Kosmo Online.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved