
PASIR PUTEH – Cubaan seorang tekong darat untuk menyeludup lapan pendatang asing tanpa izin (PATI) termasuk empat wanita melalui Sungai Kelantan gagal apabila mereka ditahan dalam operasi khas di Kampung Pasir Pekan Hilir, Wakaf Bharu, dekat Tumpat pada minggu lalu.
Dalam operasi kira-kira pukul 5.13 pagi pada 26 September lalu itu, pasukan risikan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Negeri Kelantan bersama Pasukan Gerakan Am terlebih dahulu mengesan sebuah bot bergerak laju dalam keadaan bergelap menyusuri sungai berkenaan.
Pengarah APMM Kelantan, Kepten Maritim Kamal Mohamad berkata, pergerakan bot tersebut dikesan menggunakan peralatan penglihatan malam hasil maklumat risikan dan intipan yang dijalankan pasukan operasi.
“Pasukan operasi berjaya menahan lapan PATI warga Myanmar dan seorang lelaki berusia 28 tahun yang dipercayai berperanan sebagai tekong darat.
“Tujuh PATI itu berada di dalam sebuah kenderaan pelbagai guna jenis Perodua Alza manakala seorang lagi berada di luar kenderaan tersebut bersama tekong darat,” katanya pada sidang akhbar di Pejabat APMM Kelantan, Tok Bali di sini hari ini.
Kamal memberitahu, anggota APMM terpaksa bergelut dengan seorang lagi suspek yang menunggang motosikal jenis Yamaha Y15 sebelum lelaki itu terjun ke dalam sungai dan melarikan diri menggunakan bot penyeludup yang berada berhampiran lokasi.
Tambahnya, tekong darat bersama kesemua PATI ditahan mengikut Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007 dan Akta Imigresen 1959/63. – KOSMO! ONLINE
The post Tekong darat tak sempat seludup lapan PATI Myanmar di Sungai Kelantan appeared first on Kosmo Online.






