37 kawasan catat IPU tidak sihat setakat 9.30 pagi

LocalEnvironment
9 Oct 2026 • 10:53 AM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: 37 kawasan catat IPU tidak sihat setakat 9.30 pagi
Seorang pejalan kaki memakai pelitup muka ketika tinjauan di Putrajaya susulan keadaan jerebu, hari ini. - Foto: Bernama

KUALA LUMPUR - Sebanyak 37 kawasan mencatatkan bacaan Indeks Pencemar Udara (IPU) pada tahap tidak sihat setakat 9.30 pagi tadi dengan Seremban, Negeri Sembilan merekodkan bacaan tertinggi, iaitu 186.

Menurut portal Sistem Pengurusan Indeks Pencemar Udara Malaysia (APIMS) Jabatan Alam Sekitar (JAS), kawasan lain di Negeri Sembilan yang turut mencatatkan IPU tidak sihat ialah Nilai (183) dan Port Dickson (174).

Di Melaka, tiga kawasan merekodkan IPU tidak sihat, iaitu Bukit Rambai dan Bandaraya Melaka masing-masing dengan bacaan 184 dan Alor Gajah (178), sementara di Johor, lapan kawasan terjejas, iaitu Segamat (183), Pasir Gudang (181), Tangkak (181), Kluang (176), Larkin (173), Pengerang (171), Batu Pahat (169) serta Kota Tinggi (166).

Di Selangor, Johan Setia merekodkan bacaan tertinggi, iaitu 183, diikuti Shah Alam (178), Petaling Jaya (169), Banting (168), Klang (167) dan Kuala Selangor (151).

Batu Muda dan Cheras di ibu negara pula masing-masing merekodkan bacaan 171 dan 170, manakala Putrajaya (170).

Lima kawasan di Perak turut mencatatkan bacaan tidak sihat, iaitu Tasek Ipoh (178), Tanjung Malim (173), Pegoh Ipoh (172), Seri Manjung (159) dan Taiping (128).

Kawasan lain yang turut terjejas ialah Rompin (170), Indera Mahkota Kuantan (162) dan Temerloh (154) di Pahang, manakala di Kedah melibatkan Sungai Petani (157) dan Alor Setar (153).

Selain itu, tiga kawasan di Pulau Pinang, iaitu Minden (153), Seberang Jaya (152) dan Seberang Perai (119) serta Kemaman di Terengganu (153) turut mencatatkan bacaan IPU tidak sihat.

Sebanyak 31 kawasan di seluruh negara pula mencatatkan bacaan IPU pada tahap sederhana.

Bacaan IPU antara sifar hingga 50 menunjukkan kualiti udara baik, 51 hingga 100 sederhana, 101 hingga 200 tidak sihat, 201 hingga 300 sangat tidak sihat, manakala bacaan melebihi 300 berada pada tahap berbahaya. - Bernama

 

 

 

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved