
SINGAPURA, 9 OKT: Kualiti udara merosot ke tahap tidak sihat di seluruh Singapura pada Jumaat, dengan Indeks Piawaian Pencemar (PSI) 24 jam mencecah 177 di kawasan tengah ketika republik itu membuat persediaan untuk perlumbaan Formula 1 (F1) Grand Prix (GP) Singapura 2026 pada hujung minggu ini.
Setakat 11 pagi, data Agensi Sekitaran Kebangsaan (NEA) menunjukkan bacaan PSI 24 jam tertinggi direkodkan di kawasan tengah iaitu 177, diikuti barat (168), selatan (157), timur (151) dan utara (119).
Bacaan PSI 24 jam menjadi asas kepada nasihat kesihatan harian NEA, dengan bacaan antara 101 hingga 200 dikategorikan sebagai tidak sihat, 201 hingga 300 sebagai sangat tidak sihat dan melebihi 300 sebagai berbahaya.
Sementara itu, bacaan PM2.5 satu jam berada dalam jalur tinggi di kawasan tengah Singapura, manakala kawasan lain kekal dalam jalur meningkat.
Bacaan PM2.5 satu jam merupakan purata paras bahan pencemar PM2.5 bagi setiap jam. PM2.5 merujuk kepada zarah halus berdiameter 2.5 mikrometer atau kurang dan merupakan bahan pencemar utama ketika kejadian jerebu, sekali gus menimbulkan risiko kepada kesihatan.
Bacaan PM2.5 antara 56 hingga 150 berada dalam jalur meningkat, 151 hingga 250 dalam jalur tinggi, manakala bacaan melebihi 250 dianggap sangat tinggi.
Pusat Meteorologi Khusus ASEAN (ASMC) dalam ramalan cuaca dan jerebu harian terkini memaklumkan bahawa cuaca kering berterusan di beberapa kawasan di selatan rantau ASEAN sepanjang malam.
Menurut pusat itu, titik panas secara terpencil hingga berselerak dikesan di Kalimantan serta bahagian selatan dan tengah Sumatera, manakala hanya beberapa titik panas dikesan di kawasan lain di selatan rantau ASEAN.
“Jerebu asap rentas sempadan pada tahap sederhana hingga tebal diperhatikan di beberapa kawasan di Semenanjung Malaysia, Singapura, Kalimantan serta bahagian selatan dan tengah Sumatera.
“Banyak stesen pemantauan kualiti udara di Semenanjung Malaysia, Singapura, Kalimantan dan Sumatera melaporkan bacaan pada tahap tidak sihat hingga berbahaya,” menurut pusat itu pada Jumaat.






