
PUTRAJAYA: Dalam usaha memperkukuh budaya sekolah selamat, Kementerian Pendidikan memberi peluang dan ruang kepada kira-kira 5.2 juta murid melaporkan sebarang isu berkaitan keselamatan, buli dan kesejahteraan secara lebih sulit melalui peti aduan berkunci di sekolah-sekolah seluruh negara.
Peti aduan itu ditempatkan di lokasi mudah diakses tetapi tetap menjamin privasi murid, sekali gus mengurangkan kebimbangan untuk tampil membuat aduan.
Ia adalah antara reformasi segera selepas Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) menggubal Polisi Perlindungan Murid Sekolah berkuat kuasa 1 Julai lalu.
Menurut Pengarah Bahagian Pengurusan Sekolah Harian KPM, Mohd. Hanafi Samad, peti tersebut akan ditempatkan di lokasi strategik, mudah diakses dan selamat, mengambil kira aspek privasi murid.
Ini termasuk di kawasan yang tidak menjadi tumpuan utama dan membolehkan murid mengemukakan aduan tanpa diperhatikan secara langsung seperti di kantin, berhampiran pejabat pentadbiran, asrama atau mana-mana lokasi lain yang bersesuaian.
Jelasnya, bilangan peti aduan hendaklah bersesuaian dengan keperluan dan persekitaran sekolah dan tidak terhad kepada satu peti sahaja.
“Aduan boleh dikemukakan melalui sebarang medium bertulis yang bersesuaian, tidak terikat kepada sebarang format atau bahasa tertentu dan murid tidak wajib menyertakan maklumat diri.
“Murid boleh mengemukakan aduan kepada mana-mana guru atau pentadbir sekolah yang dirasakan selesa dan dipercayai secara bersemuka atau melalui medium komunikasi sedia ada seperti WhatsApp, Telegram, e-mel, talian telefon atau kaedah lain bersesuaian,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Polisi ini dilaksanakan bagi menjamin hak murid untuk bersuara secara selamat dan beretika dengan mengarahkan semua pentadbir sekolah menyediakan saluran aduan mesra murid supaya mereka mempunyai akses selamat, mudah dan tanpa halangan untuk bersuara.
Menurut Mohd. Hanafi, polisi itu digubal bagi menyediakan satu kerangka rujukan utama komprehensif dan bersepadu dalam usaha melindungi murid daripada sebarang bentuk ancaman, memelihara privasi dan maruah mereka serta menyokong pelibatan dalam aspek kesejahteraan dan kebajikan murid.
Ia sejajar dengan usaha KPM melaksanakan reformasi segera secara strategik dan terangkum untuk memperkukuh tahap keselamatan, kesejahteraan dan perlindungan murid di semua sekolah seluruh negara melalui Kerangka Sekolah Selamat.
Murid berkeperluan pendidikan khas (MBPK) boleh menggunakan kaedah komunikasi bersesuaian seperti bahan visual, papan komunikasi atau bahasa isyarat dengan bantuan guru pendidikan khas.
Katanya, guru atau pentadbir sekolah yang menerima aduan hendaklah mendengar dengan tenang, menunjukkan empati dan tidak menghakimi murid.
Katanya, guru atau pentadbir sekolah hendaklah mengutamakan keselamatan dan kesejahteraan murid; tidak perlu menjalankan siasatan sendiri atau menyoal murid secara mendalam yang boleh menjejaskan kesejahteraan murid atau integriti siasatan.
“Persekitaran bagi membuat aduan hendaklah menyokong dan selamat supaya murid atau pelapor dapat membuat aduan tanpa rasa takut.
“Murid atau pelapor tidak dikenakan sebarang tekanan, ugutan atau tindakan balas akibat daripada membuat aduan dan maklumat berkaitan aduan dikendalikan secara berhemah dan hanya dikongsi dengan pihak yang berkaitan untuk tindakan lanjut,” katanya.
Bagi aduan melibatkan isu disiplin, kebajikan, keselamatan atau kesejahteraan murid, hendaklah diuruskan segera pada peringkat sekolah untuk tindakan lanjut.
Mohd. Hanafi berkata, semua aduan hendaklah diuruskan secara beretika dengan kerahsiaan pengadu dipelihara pada setiap masa.
Bagi kes memerlukan rujukan kepada pihak berkuasa hendaklah dirujuk dengan segera kepada mana-mana pihak berkuasa yang berkaitan mengikut jenis, tahap dan keperluan kes seperti Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Polis Diraja Malaysia (PDRM) atau One Stop Crisis Centre (OSCC) Kementerian Kesihatan. – UTUSAN
The post Peti aduan mudahkan murid kongsi maklumat, masalah di sekolah appeared first on Utusan Malaysia.





