
PASIR PUTEH – Sebanyak 4,054 unit peranti rokok elektronik atau vape dan cecair berperisa dilupuskan menerusi sitaan barangan tersebut dalam operasi penguatkuasaan bersepadu di daerah ini hari ini.
Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar Kelantan, Hilmi Abdullah berkata, tindakan itu membuktikan pendirian kerajaan negeri yang tidak membenarkan penjualan vape dan shisha di seluruh Kelantan sejak 2015.
Menurutnya, sebanyak 42,759 unit cecair vape disita di seluruh Kelantan sepanjang 2025 dengan 89 peratus daripadanya merupakan peranti rokok elektronik.
“Jumlah itu sangat besar dan membimbangkan terutama apabila melibatkan risiko kesihatan serta masa depan anak-anak muda.
“Kerajaan negeri tidak akan berkompromi dalam isu ini. Kita tidak mengeluarkan lesen perniagaan untuk penjualan vape dan shisha,” katanya ketika ditemui pada program pelupusan barangan sitaan di pekarangan Dewan Utama Majlis Daerah Pasir Puteh (MDPP) di sini hari ini.
Operasi itu dijalankan secara bersepadu bersama Polis Diraja Malaysia dan Kementerian Kesihatan sepanjang 2025 hingga Mei lalu.
Mengulas lanjut, Hilmi memberitahu, selain vape, barangan yang dilupuskan termasuk 256 unit mercun dan bunga api, 90 unit peralatan termasuk aksesori shisha serta 118 unit barangan lain berkaitan kesalahan perniagaan tanpa lesen.
Beliau berkata, kerajaan negeri bertegas membanteras penjualan vape atas faktor kesihatan, keselamatan sosial dan tuntutan syariat yang menekankan kepentingan menjaga kesihatan dan menjauhi pembaziran.
Katanya, ibu bapa juga perlu memainkan peranan lebih besar dalam mendidik anak-anak mengenai bahaya penggunaan rokok elektronik, selain meningkatkan pemantauan terhadap pengaruh promosi produk tersebut di media sosial.- KOSMO! ONLINE
The post 4,054 vape dilupus, Kelantan tegas banteras penjualan rokok elektronik appeared first on Kosmo Online.






