4 didakwa bakar rumah diduduki etnik Rohingya

29 Oct 2026 • 11:44 AM MYT
Kosmo Online
Kosmo Online

Hub berita berintegriti dan sensasi dalam dan luar negara.

Image from: 4 didakwa bakar rumah diduduki etnik Rohingya

JOHOR BAHRU – Empat lelaki mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan membakar rumah yang didiami etnik Rohingya di Kulai, dua minggu lalu.

Kesemua tertuduh, Yap Tze Hong, 31, Muhamad Amirul Eizlan Masrihan, 28, Muhammad Khairul Abd. Bahrin, 27, dan Chen Jie Ming, 28, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim, Datuk Che Wan Zaidi Che Wan Ibrahim.

Mengikut kertas pertuduhan, mereka didakwa bersama-sama melakukan perbuatan khianat menggunakan api bagi membakar sebuah rumah di Lorong 5, Kulai Besar, pada pukul 1.30 pagi pada 13 Oktober lalu.

Atas kesalahan itu, mereka didakwa mengikut Seksyen 436 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 34 akta sama yang memperuntukkan penjara sehingga 20 tahun dan denda jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya, Siti Aisyah Latiff memohon mahkamah menetapkan jaminan sebanyak RM25,000 bagi setiap tertuduh.

“Tertuduh pertama dan keempat memberikan kerjasama semasa tangkapan, manakala tertuduh kedua dan ketiga tidak memberi kerjasama sehingga memaksa anggota polis menahan mereka secara paksaan,”katanya.

Bagaimanapun, kesemua tertuduh memohon jaminan dikurangkan atas alasan mereka tidak mempunyai pendapatan tetap dan sebaliknya bergantung kepada gaji harian, selain turut menanggung ahli keluarga lain.

Mahkamah membenarkan Tze Hong dan Jie Ming diikat jamin sebanyak RM8,000 manakala Muhamad Amirul serta Muhammad Khairul sebanyak RM10,000.

Mahkamah turut memerintahkan semua tertuduh diikat jamin dengan seorang penjamin selain perlu lapor diri balai polis sebulan sekali, pasport serah mahkamah dan dilarang ganggu saksi pendakwaan

Tertuduh pertama diwakili G. K. Sritharan, tertuduh ketiga diwakili Siti Rashidah Abd. Aziz manakala tertuduh keempat diwakili Chon Sin Lim. Sementara itu, tertuduh kedua tidak diwakili peguam.

Mahkamah kemudian menetapkan tarikh 30 November untuk sebutan semula kes.-KOSMO! ONLINE

The post 4 didakwa bakar rumah diduduki etnik Rohingya appeared first on Kosmo Online.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved