Empat lelaki tempatan didakwa bakar rumah didiami warga Rohingya

29 Oct 2026 • 11:38 AM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: Empat lelaki tempatan didakwa bakar rumah didiami warga Rohingya

JOHOR BAHRU: Empat lelaki tempatan didakwa di Mahkamah Sesyen, di sini hari ini atas dakwaan membakar rumah kediaman yang diduduki warga Rohingya di Kulai, dua minggu lalu.

Kesemua tertuduh, Yap Tze Hong, 31; Muhamad Amirul Eizlan Masrihan, 28; Muhammad Khairul Abd. Bahrin, 27; dan Chen Jie Ming, 28, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim, Datuk Che Wan Zaidi Che Wan Ibrahim.

Mengikut kertas pertuduhan, mereka didakwa bersama-sama melakukan perbuatan khianat menggunakan api bagi membakar sebuah rumah di Lorong 5, Kulai Besar, pada pukul 1.30 pagi pada 13 Oktober lalu.

Atas kesalahan itu, mereka didakwa mengikut Seksyen 436 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 34 akta sama yang memperuntukkan penjara sehingga 20 tahun dan denda jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya, Siti Aisyah Latiff memohon mahkamah menetapkan jaminan sebanyak RM25,000 bagi setiap tertuduh.

“Tertuduh pertama dan keempat memberikan kerjasama semasa tangkapan, manakala tertuduh kedua dan ketiga tidak memberi kerjasama sehingga memaksa anggota polis menahan mereka secara paksaan,” katanya.

Bagaimanapun, kesemua tertuduh memohon jaminan dikurangkan atas alasan mereka tidak mempunyai pendapatan tetap dan sebaliknya bergantung kepada gaji harian, selain turut menanggung ahli keluarga lain.

Tertuduh pertama diwakili G. K. Sritharan, tertuduh ketiga diwakili Siti Rashidah Abd. Aziz manakala tertuduh keempat diwakili Chon Sin Lim. Sementara itu, tertuduh kedua tidak diwakili peguam.

Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh pertama dan keempat dijamin RM8,000, manakala tertuduh kedua dan ketiga dibenarkan jamin sebanyak RM10,000.

Che Wan Zaidi turut membenarkan syarat tambahan kepada semua tertuduh iaitu perlu melapor diri sebulan sekali di balai polis terdekat, serah pasport kepada mahkamah dan dilarang mengganggu saksi pendakwaan.

Beliau turut menetapkan tarikh 30 November untuk sebutan semula kes dan lantikan peguam bagi tertuduh kedua.-UTUSAN

The post Empat lelaki tempatan didakwa bakar rumah didiami warga Rohingya appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved