4 Lelaki Didakwa Bunuh Anggota Polis

LocalPolitics
25 Aug 2025 • 3:51 PM MYT
Getaran
Getaran

Menampilkan laporan semasa & terkini yang mencakupi pelbagai aspek kehidupan

image is not available

KUALA LUMPUR - Empat lelaki dihadapkan ke Mahkamah Majistret Alor Setar, Kedah hari ini, atas pertuduhan membunuh seorang anggota polis awal Ogos lalu. 

Tertuduh, Muhamad Badry Muhamad Azami, Mohamad Hafiz Khazli, Badri Iman Abdul Nasir, dan Mohd Saifuan Mohd Nor, masing-masing bekerja sendiri dan berasal dari Skudai, Johor, mengangguk faham selepas pertuduhan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan dibacakan di hadapan Majistret Eliana Ismail.

Bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan kerana kes ini tertakluk di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.

Mengikut pertuduhan, kesemua tertuduh membunuh Koperal Mohd Hafizul Izham Mazlan di hadapan sebuah rumah di Taman Golf, Alor Setar, sekitar jam 3.43 petang, 7 Ogos lalu.

Mangsa yang berusia 35 tahun dari Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Kedah maut di lokasi kejadian, selepas dilanggar sebuah kenderaan yang dipandu salah seorang suspek pecah rumah ketika polis cuba membuat tangkapan. 

Keempat-empat suspek ditahan tidak lama selepas kejadian.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 34.

Jika sabit kesalahan, kesemua tertuduh boleh dihukum mati atau dipenjara antara 30 hingga 40 tahun dan tidak kurang 12 sebatan.

Pendakwaan dikendalikan oleh Pengarah Pendakwaan Negeri Kedah, Datuk Khairul Anuar Abdul Halim, manakala kesemua tertuduh tidak diwakili peguam.

Mahkamah tidak membenarkan kesemua tertuduh diikat jamin dan menetapkan 23 November ini untuk sebutan semula kes. - Getaran, 25 Ogos 2025