4 Negeri Alami Hujan Lebat Petang Ini – MetMalaysia

LocalEnvironment
21 Sep 2024 • 3:49 PM MYT
Siakap Keli
Siakap Keli

We’re a fast growing company with over 20 million page views per month.

image is not available

4 Negeri Alami Hujan Lebat Petang Ini – MetMalaysia

Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) telah mengeluarkan amaran hujan lebat, ribut petir dan angin kencang di beberapa negeri sehingga jam 6 petang ini.

Menerusi kenyataan di Facebook, MetMalaysia memaklumkan hujan lebat bakal melanda seluruh negeri Perlis.

Selain itu, kawasan Kedah yang diramal mengalami hujan lebat hanya melibatkan Langkawi, Kubang Pasu, Kota Setar, Pokok Sena dan Padang Terap.

Di Sabah pula, hujan lebat dijangka melanda daerah Sandakan (Telupid, Kinabatangan, Beluran dan Sandakan) manakala di Sarawak hanya melibatkan daerah Kuching (Kuching), Sri Aman (Sri Aman) dan Sarikei (Pakan dan Julau).

Menurut MetMalaysia, ramalan tersebut berdasarkan tanda-tanda ribut petir dan intensiti hujan yang dijangka lebih sejam.

“Amaran dikeluarkan apabila terdapat tanda-tanda menunjukkan ribut petir dengan intensiti hujan melebihi 20 mm/jam yang hampir ATAU dijangka berlaku melebihi sejam,” katanya.

Susulan itu, orang ramai dinasihatkan berhati-hati ketika memandu dan tidak berada di kawasan yang berisiko.

Terdahulu, MetMalaysia menjangkakan fasa Peralihan Monsun bakal bermula pada 24 September dan dijangka berterusan sehingga awal November 2024. Fasa ini berpotensi menyebabkan banjir kilat, pokok tumbang serta kerosakan pada struktur yang tidak kukuh.

Menerusi kenyataan yang sama, hujan lebat diramalkan bakal berlaku di kebanyakan kawasan barat dan pedalaman Semenanjung, barat Sabah serta barat dan tengah Sarawak.

“Semasa fasa Peralihan Monsun, rantau negara akan menerima tiupan angin lemah dari pelbagai arah. Situasi ini boleh menggalakkan kejadian ribut petir yang lazimnya membawa hujan lebat berserta angin kencang dalam jangka masa yang singkat, terutamanya pada waktu petang dan awal malam,” kata Ketua Pengarah MetMalaysia.

Permulaan fasa ini menandakan berakhirnya Monsun Barat Daya yang telah bermula sejak 17 Mei 2024.

Baru-baru ini, media melaporkan kejadian banjir berlaku di utara tanah air yang melibatkan sehingga 7,494 mangsa banjir di Kedah. Beberapa kawasan di Pulau Pinang, Perlis, Perak dan Selangor turut terjejas banjir.