4 pelacur warga asing dipenjara enam bulan, denda

LocalPolitics
2 Oct 2025 • 4:22 PM MYT
Daily Express
Daily Express

Daily Express Online (Malaysia) is Sabah's top-ranked & most viewed English news site. It is also Sabah's leading & most circulated daily English newspaper.

image is not available

Kota Kinabalu: Tiga wanita warga Thailand dan seorang dari Republik Demokratik Rakyat Lao yang masuk negeri ini sebagai pelancong masing-masing didenda RM1,000 atau penjara enam bulan kerana melanggar syarat Pas Lawatan Sosial dengan bekerja sebagai pekerja seks.

Hakim Mahkamah Sesyen Hurman Hussain menjatuhkan hukuman itu terhadap Janpan Srisuda, 38; Srimanee La Or, 29; Sae Liao Najha, 35, ketiga-tiganya dari Thailand dan Phomavanh Phonevilai, 31, dari Laos selepas mereka mengaku bersalah secara berasingan terhadap pertuduhan tersebut.

Japan dan Srimanee didapati melanggar syarat pas mereka dengan bekerja sebagai pelacur pada jam 12.30 tengah malam, 13 Ogos tahun ini di bilik berasingan sebuah hotel.

Sementara itu Phomavanh dan Sae turut melanggar syarat pas mereka dengan bekerja sebagai pelacur pada hari dan waktu sama di bilik berasingan sebuah hotel di Penampang.

Kesalahan itu di bawah Peraturan 39(b), Peraturan-Peraturan Imigresen 1963 yang memperuntukkan denda sehingga RM1,000 atau penjara sehingga enam bulan atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

Keempat-empat tertuduh telah membayar denda masing-masing.

Timbalan Pendakwa Raya Syarifah Nursyuhada hadir bagi pihak pendakwaan.

Sementara itu sepuluh pendatang asing tanpa izin (PTI) dijatuhi hukuman penjara empat bulan setiap seorang kerana memasuki negeri ini secara haram.

PTI terbabit terdiri daripada warga Indonesia dan Filipina yang mengaku bersalah memasuki Sabah tanpa dokumen sah.

Mereka semua ditahan dalam operasi yang dijalankan Jabatan Imigresen di beberapa lokasi sekitar bandar raya ini baru-baru ini.

Dalam operasi tersebut mereka gagal mengemukakan dokumen sah kepada anggota Imigresen.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/1963 yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga lima tahun atau denda sehingga RM10,000 serta sebatan jika sabit kesalahan. Ketika rayuan PTI berkenaan memohon agar diberi hukuman ringan dan dihantar pulang ke negara asal mereka secepat mungkin.

Mahkamah memerintahkan semua tertuduh menjalani hukuman penjara bermula dari tarikh tangkapan dan selepas selesai hukuman mereka dirujuk kepada Jabatan Imigresen untuk proses deportasi.