400 ambulans baharu tingkat respons kecemasan – Dzulkefly

LocalHealth & Fitness
12 Oct 2026 • 2:08 PM MYT
Kosmo Online
Kosmo Online

Hub berita berintegriti dan sensasi dalam dan luar negara.

Image from: 400 ambulans baharu tingkat respons kecemasan – Dzulkefly

KUALA LUMPUR – Kementerian Kesihatan (KKM) yakin perolehan 400 ambulans baharu untuk hospital di bawah kementerian itu yang diumumkan dalam Belanjawan 2027, dapat meningkatkan keupayaan respons kecemasan.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad berkata, langkah itu penting bagi memperkukuh perkhidmatan ambulans, terutama dalam menangani kes kecemasan kritikal yang mengancam nyawa.

Beliau berkata, kadar respons ambulans bagi kes kecemasan kritikal kategori keutamaan satu (Priority 1) di seluruh negara mencatat 34.01 peratus pada 2025, masih di bawah sasaran Petunjuk Prestasi Utama (KPI) sebanyak 50 peratus bagi ketibaan dalam tempoh kurang 15 minit.

“Analisis pencapaian ini dibuat secara sistematik oleh penjagaan prahospital dan juga perkhidmatan ambulans bagi memastikan respons kecemasan dapat dipertingkatkan.

“Saya bersama dengan Ketua Pengarah Kesihatan meneliti perkara ini kerana saya memerhatikan bahawa prestasi perkara ini yang belum dapat kita penuhi kerana sangat mencabar.

“Saya mahu tegaskan KKM juga sedang memperkukuh pengoperasian MERS 999 (Sistem Respons Kecemasan Malaysia 999), selain memantau prestasi pemindahan pesakit menerusi indikator khusus seperti masa pengaktifan ambulans,” katanya di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau menjawab soalan tambahan Datuk Seri Jalaluddin Alias (BN-Jelebu) tentang prosedur operasi standard (SOP) ambulans susulan isu kekurangan dan kelewatan ambulans hingga sejam bagi kes kemalangan di kawasan Parlimen berkenaan walaupun hanya 500 meter dari hospital.

Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika membentangkan Belanjawan 2027, Jumaat lepas mengumumkan peruntukan lebih RM770 juta bagi mempercepat diagnosis dan rawatan di fasiliti kesihatan, termasuk perolehan peralatan canggih dan moden serta perolehan 400 ambulans baharu.

Dzulkefly berkata, pasukan paramedik di lapangan turut menerima panduan rawatan dan resusitasi secara masa nyata daripada pakar perubatan kecemasan bagi meningkatkan keberkesanan pengendalian kes kecemasan. – BERNAMA

The post 400 ambulans baharu tingkat respons kecemasan – Dzulkefly appeared first on Kosmo Online.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved