
KANGAR: Lebih 400 peserta dalam kalangan Pengerusi dan Setiausaha Majlis Pembangunan dan Kemajuan Kampung (MPKK) Perlis menyertai perbarisan dan perarakan bersempena sambutan Hari Kebangsaan Ke-69 peringkat negeri ini di Kompleks Tuanku Syed Putra semalam.
Ketua kontijen, senator Azahar Hassan menzahirkan ucapan terima kasih kepada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) yang terlibat menghantar peserta MPKK tersebut.
Katanya, perarakan kontijen MPKK tersebut merupakan terbesar sejak pemerintahan kerajaan Perikatan Nasional (PN) di Perlis.
Bagaimanapun, Azahar turut kesal apabila dua kawasan iaitu Sanglang dan Santan tidak menghantar wakil dalam kalangan MPKK menyertai perbarisan berkenaan.
“Sambutan hari Kebangsaan merupakan program cukup penting yang perlu mendapat sokongan serta kerjasama.
“Saya akan berusaha mengeluarkan sijil penyertaan bagi memberi galakan pada masa depan kepada peserta. Semoga program sebegini akan menjadi cetusan semangat buat seluruh pengerusi MPKK
di negeri ini untuk terus menyumbang khidmat kepada masyarakat,” katanya.
Sambutan Hari Kebangsaan Ke-69 peringkat negeri ini yang berlangsung meriah di Kompleks Tuanku Syed Putra semalam mencatat kehadiran lebih 50,000 pengunjung pelbagai kaum,
Berangkat pada sambutan berkenaan, Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail dan Raja Perempuan Perlis, Tuanku Tengku Fauziah Almarhum Tengku Abdul Rashid.
Turut berangkat, Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail; Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Dr. Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil bersama anakanda, Sharifah Farah Adriana Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail dan hadir sama, Menteri Besar, Abu Bakar Hamzah serta pemimpin-pemimpin negeri.
Majlis berkenaan diserikan dengan persembahan beberapa artis terkenal antaranya seperti Liza Hanim, Nawary Kilauan Emas, Kugiran Wak Jeng, Renjaka Band dan Guitar Rockestra.
Paling dinanti, perbarisan dan perarakan melibatkan sebanyak 70 kontinjen terdiri daripada pelbagai agensi kerajaan negeri dan pusat serta pertubuhan bukan kerajaan (NGO).-UTUSAN
The post 400 MPKK Perlis meriahkan perbarisan dan perarakan ambang merdeka appeared first on Utusan Malaysia.





