Jerebu tak halang 25,000 banjiri Padang Kota Lama sambut merdeka

31 Aug 2026 • 1:59 PM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: Jerebu tak halang 25,000 banjiri Padang Kota Lama sambut merdeka

GEORGE TOWN : Hampir 25,000 pengunjung membanjiri Padang Kota Lama di sini bagi menyaksikan perarakan serta perbarisan sempena Hari Kebangsaan peringkat negeri walaupun acara tersebut sebelum ini berdepan kemungkinan tidak dapat diteruskan akibat jerebu.

Tinjauan mendapati, ada pengunjung yang tiba seawal 6.00 pagi bersama keluarga dan rakan-rakan, malah, ada juga dalam kalangan pelancong asing yang tidak melepaskan peluang untuk merakamkan detik-detik bersejarah sempena sambutan ulang tahun kemerdekaan negara yang ke-69 itu.

Difahamkan, secara keseluruhannya, sebanyak 125 kontinjen meliputi 9,152 peserta mengambil bahagian untuk acara kawad kaki yang melibatkan jabatan, agensi negeri dan Persekutuan, badan berkanun, anak syarikat serta pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

Bagi kontinjen berkenderaan pula, sebanyak 29 penyertaan diterima kali ini yang membabitkan 676 kenderaan dengan tumpuan utama diberi perarakan melibatkan aset dan jentera milik beberapa badan beruniform khususnya bomba, polis dan tentera.

Hadir menyaksikan perarakan serta perbarisan itu ialah Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang, Tun Ramli Ngah Talib dan isteri, Toh Puan Raja Noora Ashikin Raja Abdullah; Ketua Menteri, Chow Kon Yeow dan isteri serta barisan kepimpinan negeri, ketua-ketua jabatan serta beberapa kenamaan lain.

Image from: Jerebu tak halang 25,000 banjiri Padang Kota Lama sambut merdeka
TUN Ramli Ngah Talib (dua dari kiri) ketika memeriksa barisan kawalan kehormat semasa sambutan Hari Kebangsaan peringkat negeri Pulau Pinang, hari ini.

Sementara itu, Kon Yeow ketika ditemui pemberita berkata, kerajaan negeri lega kerana sambutan Hari Kebangsaan peringkat negeri kali ini berjalan lancar, malah, mendapat sambutan luar biasa walaupun masalah jerebu masih berlaku ketika ini.

Katanya, dalam hal ini, jawatankuasa penganjur serta kerajaan negeri sentiasa bekerjasama untuk memantau keadaan cuaca dari semasa ke semasa sehingga sambutan tersebut berakhir.

“Semoga sambutan seperti ini dapat terus memupuk semangat perpaduan, keharmonian, kesejahteraan dan satu hati untuk membangunkan negeri Pulau Pinang,” ujar beliau.

Bagi seorang pengunjung, Safrina Ahmad Basri, 29, ketika ditemui pula, sambutan Hari Kebangsaan kali ini memberikan pengalaman baharu buat dirinya kerana ini kali pertama dia menyambutnya di Padang Kota Lama di sini.

“Semasa dalam perjalanan ke sini tadi, saya was-was apabila nampak seperti jerebu semakin teruk kerana hampir separuh daripada pemandangan Jambatan Pulau Pinang tidak kelihatan.

“Bagaimanapun, saya bersyukur kerana sebaik sahaja tiba di kawasan Padang Kota, cuaca nampak cerah dan matahari juga memancar sampai berpeluh-peluh,” katanya yang tinggal di Kepala Batas.-UTUSAN

The post Jerebu tak halang 25,000 banjiri Padang Kota Lama sambut merdeka appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved