40kg minyak masak terpakai dikumpul, elak cemar sumber air

LocalEnvironment
3 Sep 2026 • 11:30 AM MYT
Media Selangor
Media Selangor

Berita dan isu semasa, inklusif untuk semua.

40kg minyak masak terpakai dikumpul, elak cemar sumber air

SHAH ALAM, 3 SEPTEMBER: Sebanyak 40 kilogram minyak masak terpakai berjaya dikumpul menerusi Program Semarak Merdeka 2026 di Dataran Warisan Kuala Kubu Bharu, baru-baru ini.

Majlis Perbandaran Hulu Selangor (MPHS) memaklumkan program itu bertujuan mendidik masyarakat setempat mengenai pengurusan sisa secara betul dan mampan, termasuk mengelakkan minyak masak terpakai dibuang ke singki atau parit.

“Melalui program ini, minyak masak terpakai tidak lagi dibuang terus ke dalam singki atau parit, yang mana ia boleh menyebabkan pencemaran sumber air dan penyumbatan sistem perparitan.

“Jadi, minyak masak ini dikumpul bagi tujuan kitar semula dan menjadi produk bernilai seperti biodiesel,” katanya menerusi hantaran di Facebook.

Image from: 40kg minyak masak terpakai dikumpul, elak cemar sumber air
Sebahagian minyak masak terpakai yang dikumpul menerusi Program Semarak Merdeka 2026 di Dataran Warisan Kuala Kubu Bharu. Foto Facebook MPHS

Program berkenaan dianjurkan bersama Bahagian Kelestarian dan Kesejahteraan (KesKom) serta Jabatan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (JPSPPA).

Menurut MPHS, inisiatif itu bukan sahaja membantu mengurangkan pencemaran alam sekitar, malah menyokong pelaksanaan Dasar Ekonomi Kitaran Negara.

“MPHS komited dalam memperkukuh Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) terutamanya SDG:11 Bandar dan Komuniti Lestari, SDG:12 Penggunaan dan Pengeluaran Bertanggungjawab, dan SDG 13: Tindakan terhadap Perubahan Iklim,” katanya.

MPHS turut memaklumkan sambutan menggalakkan daripada penduduk sekitar menunjukkan peningkatan kesedaran komuniti Kuala Kubu Bharu terhadap pemeliharaan alam sekitar.

Pihak berkuasa tempatan itu berharap usaha berkenaan dapat membantu mengurangkan jumlah sisa dihantar ke tapak pelupusan, selain memperkasa budaya tanggungjawab bersama dalam menjaga kelestarian alam sekitar.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved