ALOR SETAR - Sebuah premis mengumpul minyak masak terpakai di sini diserbu penguat kuasa pada Selasa kerana memiliki 1,823 kilogram (kg) minyak masak peket bersubsidi.
Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Kedah, Muhammad Nizam Jamaludin berkata, kesemua minyak masak peket itu dianggarkan bernilai RM5,457.50 disita untuk tindakan lanjut.
Menurutnya, semasa pemeriksaan, seorang lelaki tempatan berusia 31 tahun yang mengaku sebagai pemilik premis gagal mengemukakan dokumen berkaitan seperti diminta.
"Lelaki terbabit gagal mengemukakan permit untuk menyimpan atau lesen menjual barang kawalan berjadual, menyebabkannya ditahan bagi membantu siasatan.
"Siasatan awal turut melihat kemungkinan minyak masak peket bersubsidi itu disorok untuk dikumpulkan dan dijadikan minyak masak terpakai di mana harganya lebih tinggi," katanya pada Rabu.
Muhammad Nizam berkata, serbuan pada jam 12 tengah hari itu dijalankan selepas pihaknya menerima maklumat daripada Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) yang mengesyaki berlaku penyelewengan minyak masak peket bersubsidi satu kilogram.
Katanya, pemilik premis dilepaskan dengan jaminan polis selepas selesai proses rakaman percakapan dan dokumentasi.
Jelasnya, tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana pihak yang menyalahgunakan atau menyeleweng barang kawalan bersubsidi demi mendapatkan keuntungan.
Kes disiasat bawah Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961 [Akta 122].






