Anggota tentera didakwa miliki senjata api, peluru

10 Oct 2026 • 2:02 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Anggota tentera didakwa miliki senjata api, peluru
Polis mengenal pasti pemilik serta sumber pistol dan peluru yang dirampas daripada seorang anggota tentera yang ditahan di kawasan parkir kereta dalam Kem Askar Sungai Besi, pada 29 September lalu.

KUALA LUMPUR - Polis mengenal pasti pemilik serta sumber pistol dan peluru yang dirampas daripada seorang anggota tentera yang ditahan di kawasan parkir kereta dalam Kem Askar Sungai Besi di sini pada 29 September lalu.

Ketua Polis Daerah Cheras, Asisten Komisioner Mohd Rosdi Daud berkata, siasatan berhubung pemilikan dan sumber senjata api serta peluru itu masih dijalankan.

Dalam perkembangan berkaitan, beliau mengesahkan anggota tentera berusia lingkungan 30an itu sudah didakwa di Mahkamah Jalan Duta di sini pada Khamis lalu selepas kertas siasatan dilengkapkan.

"Kertas siasatan berkenaan telah ditaklimatkan kepada Timbalan Pendakwa Raya sebelum arahan pertuduhan dikeluarkan.

"Suspek didakwa mengikut Seksyen 8 Akta Senjata 1960 dan Seksyen 8(a) akta sama,” katanya dalam kenyataan pada Sabtu.

Media sebelum ini melaporkan, suspek ditahan sepasukan anggota Bahagian Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti (BPJKK), Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Cheras, kira-kira jam 12.42 tengah malam.

Timbalan Ketua Polis Daerah Cheras, Superintenden Lim Chun How sebelum ini dilaporkan berkata, polis turut merampas sepucuk pistol, puluhan butir peluru serta cecair disyaki ketum dalam tangkapan itu.

Beliau berkata, semakan mendapati suspek mempunyai tiga rekod jenayah lampau, masing-masing dua berkaitan dadah dan satu kes jenayah.

Ujar beliau, suspek awalnya direman selama lima hari sehingga 3 Oktober sebelum tempoh reman dilanjutkan lima hari lagi sehingga 8 Oktober bagi membantu siasatan.

 

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved