KOTA BHARU - Kerajaan Kelantan mengakui kapasiti bekalan air sedia ada masih gagal menampung keperluan rakyat apabila 43 loji rawatan air (LRA) yang beroperasi ketika ini tidak lagi mencukupi.
Exco Kerja Raya, Infrastruktur, Air dan Pembangunan Luar Bandar negeri, Datuk Dr Izani Husin berkata masalah bekalan air di Kelantan kini menjadi antara isu terbesar yang diberi perhatian kerajaan negeri.
Menurut beliau, LRA yang ada sekarang hanya boleh menghasilkan 529 juta liter air sehari, manakala kawasan seperti Tumpat dan Pasir Mas serta beberapa kawasan lain masih berdepan gangguan bekalan air berikutan sumber tersebut tidak mencukupi untuk disalurkan kepada pengguna.
“Setakat ini, Jeli dan Gua Musang berada dalam keadaan baik. Secara keseluruhannya, sumber air kita tidak mencukupi untuk disalurkan kepada rakyat.
“Sebab itu, kadang-kadang kita terpaksa mengawal penyaluran air mengikut keperluan semasa,” katanya semasa sidang akhbar pada Ahad.
Sebelum itu, beliau merasmikan Taklimat Status Semasa Bekalan Air di Negeri Kelantan yang diadakan di sini.
Beliau memberitahu, kerajaan negeri kini melaksanakan 17 projek loji rawatan air baharu yang dirancang sejak 2023 bagi meningkatkan kapasiti bekalan air di seluruh Kelantan.
Katanya, apabila semua projek itu siap menjelang 2030, jumlah loji rawatan air di negeri ini akan meningkat daripada 43 kepada 60 loji dan menghasilkan 884 juta liter sehari.
“Insya-Allah, menjelang 2030, kita jangka jumlah air lebih mencukupi dan isu air dapat dikurangkan dengan banyak walaupun mungkin tidak selesai sepenuhnya,” katanya.





