Aidiladha: AKSB tambah tangki statik, lori hadapi krisis air di Kelantan

24 May 2026 • 2:30 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Aidiladha: AKSB tambah tangki statik, lori hadapi krisis air di Kelantan
Izani (gambar kecil) berkata, AKSB turut diarahkan menempatkan tangki tambahan di kampung-kampung yang dikenal pasti mengalami gangguan air yang mendesak. Foto hiasan

KOTA BHARU - Kerajaan Kelantan menambah lori serta menyediakan lebih banyak tangki statik di kawasan kritikal bagi menghadapi gangguan bekalan air sempena Aidiladha ini.

Exco Kerja Raya, Infrastruktur, Air dan Pembangunan Luar Bandar negeri, Datuk Dr Izani Husin berkata, langkah itu dibuat bagi memastikan pengguna, terutama di kawasan yang sering berdepan masalah bekalan air, tidak terus terjejas ketika musim perayaan dan cuti sekolah.

Menurut beliau, Air Kelantan Sdn Bhd (AKSB) turut diarahkan menempatkan tangki tambahan di kampung-kampung yang dikenal pasti mengalami gangguan mendesak.

“Kita telah menambah bilangan lori dan saya juga meminta AKSB meletakkan tangki statik tambahan di kawasan yang mempunyai masalah air mendesak.

“Kita mempunyai tong statik mencukupi dan boleh diagihkan kepada kampung-kampung yang memerlukan,” katanya semasa sidang akhbar pada Ahad.

Sebelum itu, beliau merasmikan Taklimat Status Semasa Bekalan Air di Negeri Kelantan yang diadakan di sini.

Izani memberitahu, pendekatan segera itu dilaksanakan sebagai langkah jangka pendek bagi menghadapi peningkatan penggunaan air sepanjang Aidiladha.

Menurut beliau, kerajaan negeri juga sedang meneliti isu bekalan air seiring dengan perkembangan pesat pembangunan di Kelantan.

“Saya rasa itu sahajalah untuk jangka pendek; musim perayaan, cuti sekolah dan sebagainya.

“Kita juga cuba melihat perkembangan bekalan air ini seiring dengan kemajuan Kelantan itu sendiri,” katanya.