'Kalau air kotor beri alamat, lokasi bukan sekadar kongsi di media sosial' - Exco

LocalEnvironment
24 May 2026 • 1:49 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: 'Kalau air kotor beri alamat, lokasi bukan sekadar kongsi di media sosial' - Exco
Izani (gambar kecil) memaklumkan, beberapa kawasan yang sebelum ini berdepan isu air berkarat dan gangguan bekalan kini semakin pulih secara berperingkat. Foto hiasan

KOTA BHARU - Kerajaan Kelantan meminta rakyat menyalurkan aduan berkaitan bekalan air secara lebih spesifik dan terus kepada Air Kelantan Sdn Bhd (AKSB) bagi membolehkan tindakan segera diambil.

Exco Kerja Raya, Infrastruktur, Air dan Pembangunan Luar Bandar Kelantan, Datuk Dr Izani Husin berkata, aduan yang lengkap dengan alamat rumah, lokasi dan kawasan terlibat penting bagi membantu pihak berkuasa mengenal pasti punca sebenar masalah.

Menurut beliau, aduan secara umum di media sosial tanpa maklumat lokasi hanya menyukarkan pasukan teknikal menjalankan siasatan, sama ada masalah berpunca daripada loji, paip pecah, tangki, tekanan rendah atau sistem dalaman rumah.

“Kalau air kotor, tolong beri alamat rumah, lokasi dan kawasan terlibat. Baru pasukan kita boleh turun siasat sama ada masalah berlaku di loji, paip pecah, tangki atau sistem dalaman rumah.

“Kalau setakat tulis dalam media sosial ‘air tidak ada’, kita hendak cari di mana? Macam mana hendak selesai? Duduk bising sesama sendiri, tetapi masalah tidak sampai kepada kami,” katanya mengulas isu aduan bekalan air di negeri ini pada Ahad.

Dalam masa sama, Izani menggesa pengguna menggunakan aplikasi MyAKSB yang disediakan bagi memudahkan urusan aduan, semakan bil, pembayaran serta penerimaan notifikasi gangguan bekalan air secara terus.

Ujarnya, penggunaan aplikasi itu masih rendah apabila hanya kira-kira 30,000 pengguna mendaftar daripada hampir 300,000 akaun pelanggan AKSB di seluruh Kelantan.

“Itu lebih kurang 10 peratus sahaja. Sedangkan dalam aplikasi itu banyak maklumat penting. Hendak bayar bil boleh, hendak buat aduan boleh, hendak cadang penambahbaikan pun boleh,” katanya.

Beliau turut mengakui masih wujud jurang komunikasi antara pengguna dengan pihak AKSB sehingga ada masalah kecil berlarutan berbulan-bulan kerana tidak disalurkan melalui saluran rasmi.

“Saya beri contoh dalam kawasan saya sendiri. Ada penduduk kata tiga bulan tidak ada air, tetapi rupanya tidak pernah memaklumkan kepada AKSB. Dia duk bising dalam kelompok dia sahaja.

“Bila sampai maklumat kepada kita, hari sama kita pergi dan selesai. Rupanya cuma masalah pelarasan booster dan valve sahaja,” katanya.

Dalam pada itu, Izani memaklumkan beberapa kawasan yang sebelum ini berdepan isu air berkarat dan gangguan bekalan kini semakin pulih secara berperingkat.

Menurut beliau, antara kawasan terlibat termasuk Bukit Chupak di Gua Musang, Kelar Dua di Pasir Mas, Machang dan Chicha.

“Bukit Chupak di Gua Musang selesai, Kelar Dua di Pasir Mas selesai, Machang pun selesai dan terbaru, kawasan Chicha juga banyak yang akan selesai.

“Tidak usah banyak bercakap, kita buat kerja. Insya-Allah, dari semasa ke semasa, keadaan akan makin baik,” katanya.