
KUALA LUMPUR — Mahkamah Persekutuan hari ini membenarkan permohonan Peguam Negara dan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi untuk merayu keputusan Mahkamah Rayuan yang sebelum ini membenarkan Badan Peguam meneruskan semakan kehakiman.
Keputusan sebulat suara oleh panel tiga hakim yang dipengerusikan Datuk Seri Hashim Hamzah itu sekali gus membuka ruang kepada Peguam Negara dan Ahmad Zahid untuk mencabar kebenaran semakan kehakiman berkaitan penghentian 47 pertuduhan jenayah berkait Yayasan Akal Budi.
Panel yang turut dianggotai Hakim Datuk Nordin Hassan dan Datuk Che Mohd Ruzima Ghazali membuat ketetapan itu selepas mendapati kes berkenaan membangkitkan persoalan perlembagaan baharu yang mempunyai kepentingan awam serta memerlukan penjelasan muktamad.
Menurut Hashim, isu teras yang perlu diputuskan oleh mahkamah tertinggi negara itu melibatkan ambang kebenaran bagi semakan kehakiman apabila kuasa Peguam Negara di bawah Perkara 145(3) Perlembagaan Persekutuan dicabar.
Beliau menegaskan bahawa ambang berkenaan perlu diterapkan dengan disiplin, berhati-hati dan penuh batasan apabila membabitkan bidang kuasa khusus tersebut.
"Kami berpandangan bahawa kes ini membangkitkan persoalan perlembagaan baharu yang mempunyai kepentingan awam yang memerlukan penjelasan dan keputusan muktamad Mahkamah ini.
"Oleh itu, pemohon (Peguam Negara dan Ahmad Zahid Hamidi) sudah memenuhi ambang bagi permohonan kebenaran di bawah Seksyen 96A dan Seksyen 96B Akta Mahkamah Kehakiman," katanya.
Perkembangan ini menyusul selepas Mahkamah Rayuan sebelum ini membenarkan rayuan Badan Peguam untuk memulakan prosiding semakan kehakiman terhadap tindakan Peguam Negara memberhentikan perbicaraan kes berkenaan.
Tindakan undang-undang oleh Badan Peguam itu dibuat berikutan keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 4 September 2023 yang memberikan pelepasan tanpa pembebasan (DNAA) bagi kesemua 47 pertuduhan terhadap Ahmad Zahid selepas pihak pendakwaan memaklumkan hasrat Peguam Negara untuk menghentikan prosiding. - 8 Oktober, 2026
The post 47 dakwaan Yayasan Akal Budi: Peguam Negara, Zahid dibenar rayu semakan kehakiman appeared first on Scoop.






