
SUNGAI BULOH: Sebanyak 47 hektar Hutan Simpan Sungai Buloh akan digantikan dengan dua kawasan tanah kerajaan seluas keseluruhan 66.2 hektar bagi tujuan pemasangan talian bawah tanah Tenaga Nasional Berhad (TNB).
Pengarah Jabatan Perhutanan Negeri Selangor, Azhar Ahmad berkata, kawasan gantian itu lebih luas berbanding kawasan hutan simpan yang terlibat dalam proses pemansuhan.
Menurutnya, cadangan tersebut turut melalui proses pendengaran awam seperti yang diperuntukkan di bawah undang-undang negeri.
“Kawasan 47 hektar itu merupakan sebahagian daripada Hutan Simpan Sungai Buloh yang tertinggal selepas kawasan sekelilingnya melalui perubahan terdahulu dan kini berada di bawah jajaran TNB.
“Notis berkaitan proses itu telah dibuka kepada orang ramai sejak September lalu dan kami menerima dua bantahan secara bertulis.
“Dua pembantah telah mengemukakan bantahan mereka secara bertulis dan kami panggil mereka untuk memberikan penjelasan lanjut hari ini.
“Kami terima pandangan itu, serta bantahan mereka telah diterima untuk penelitian lanjut dan kami akan membuat analisis sebelum dibentangkan semula kepada Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN),” katanya.
Beliau ditemui Utusan Malaysia selepas program Town Hall Penyiasatan Awam, Cadangan Pemansuhan Hutan Simpan Bukit Tarek dan Sungai Buloh di sini hari ini.
Turut hadir adalah Exco Kesihatan Awam dan Alam Sekitar Selangor, Jamaliah Jamaluddin.
Azhar berkata, kawasan Hutan Simpan Sungai Buloh berkenaan pada asalnya merupakan sebahagian daripada kawasan hutan simpan lebih luas tetapi tertinggal di bawah jajaran lain selepas perubahan terdahulu.
Katanya, kawasan seluas 47 hektar itu akan digantikan dengan tanah kerajaan di Bukit Gasing dan Hulu Langat berjumlah 66.2 hektar.
“Setiap proses pemansuhan hutan simpan perlu disertai kawasan gantian selain melalui proses pendengaran awam.
“Sesi town hall itu diadakan bagi memastikan setiap tindakan kami dilakukan secara telus serta mematuhi peruntukan undang-undang.
“Selain itu, orang ramai turut diberi peluang mengemukakan pandangan dan bantahan sebelum sebarang analisis dikemukakan kepada kerajaan negeri untuk keputusan selanjutnya,” katanya. – UTUSAN
The post 47 hektar Hutan Simpan Sungai Buloh dinyahwarta appeared first on Utusan Malaysia.






