Jabatan Peguam Negara (AGC) memaklumkan bahawa tiada tindakan lanjut (NFA) akan diambil berhubung kes yang melibatkan Dato’ Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkaitan 47 pertuduhan pecah amanah, rasuah, dan pengubahan wang haram berhubung dana Yayasan Akalbudi.
Keputusan ini dibuat susulan penilaian menyeluruh terhadap hasil siasatan lanjut yang dijalankan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) selepas Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 4 September 2023 melepaskan Dato’ Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi tanpa membebaskan(DNAA) daripada pertuduhan tersebut.
Jabatan Peguam Negara menyatakan bahawa siasatan tambahan yang merangkumi sumber dana, kaedah perolehan, penggunaan dana, dan enam representasi yang dikemukakan oleh pihak terbabit telah dijalankan secara terperinci. Jabatan ini mendapati bahawa keterangan yang diperoleh tidak mencukupi untuk menyokong penerusan pendakwaan terhadap semua pertuduhan.
Baca juga:
Beberapa faktor telah diambil kira dalam membuat keputusan ini. Antaranya ialah skop dan fokus siasatan awal yang berkaitan pertuduhan yang difailkan, penilaian dalaman pendakwaan mengenai kesesuaian dan kecukupan keterangan pada peringkat awal, langkah-langkah siasatan lanjut oleh SPRM untuk melengkapkan fakta dan konteks, serta dapatan keseluruhan berkaitan operasi Yayasan Akalbudi, termasuk aliran dan sumbangan dana dari semasa ke semasa.
Jabatan Peguam Negara menegaskan bahawa keputusan berkenaan dibuat berdasarkan pertimbangan profesional dan undang-undang, selaras dengan kuasa Peguam Negara di bawah Perlembagaan Persekutuan. Keputusan ini jelasnya diambil dengan mengambil kira kepentingan keadilan, integriti proses pendakwaan, serta kepastian dan ketelusan dalam sistem keadilan jenayah.
The post ‘47 Pertuduhan rasuah libatkan Zahid Hamidi, NFA’- AGC appeared first on The Reporter.

