Kes Dana Yayasan Akalbudi NFA – AGC

LocalPolitics
8 Jan 2026 • 5:57 PM MYT
Siakap Keli
Siakap Keli

We’re a fast growing company with over 20 million page views per month.

image is not available

Kes Dana Yayasan Akalbudi NFA – AGC

Jabatan Peguam Negara (AGC) memaklumkan tiada tindakan lanjut (No Further Action) akan diambil berhubung kes Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi yang membabitkan 47 pertuduhan kesalahan pecah amanah, rasuah dan pengubahan wang haram berkaitan dana Yayasan Akalbudi.

Dalam satu kenyataan, jabatan itu berkata siasatan lanjut dan terperinci telah dijalankan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) susulan keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur yang melepaskan tanpa membebaskan (DNAA) Ahmad Zahid pada 4 September 2023.

Siasatan itu merangkumi aspek-aspek berkaitan sumber dana, kaedah perolehan serta penggunaan dana berkenaan, termasuk perkara-perkara yang dibangkitkan melalui enam representasi yang dikemukakan kepada Jabatan ini selepas Ahmad Zahid dipanggil untuk membela diri.

“Setelah meneliti keseluruhan bahan dan keterangan baru yang diperolehi hasil daripada siasatan lanjut dan penelitian tersebut, Jabatan ini, berdasarkan penilaian dan pertimbangan pendakwaan, mendapati bahawa keterangan yang ada tidak mencukupi untuk menyokong penerusan pendakwaan bagi kesemua pertuduhan tersebut,” katanya.

Menurut AGC, penelitian dibuat dengan turut mempertimbangkan skop dan fokus siasatan pada peringkat awal yang berkaitan secara langsung dengan pertuduhan yang difailkan.

Selain itu, ia melibatkan pertimbangan dan penilaian dalaman pendakwaan yang telah direkodkan pada peringkat awal berhubung kesesuaian dan kecukupan keterangan bagi menyokong pendakwaan serta kebolehkekalan penerusan pendakwaan.

BACA: Keputusan Mohon DNAA Ahmad Zahid Dibuat Selaras Peruntukan Undang-undang – AGC

Langkah-langkah siasatan lanjut dan terperinci yang kemudiannya dijalankan oleh pihak SPRM bagi melengkapkan dan memperhalusi gambaran keseluruhan fakta, konteks dan keterangan baru kes juga dipertimbangkan.

Dalam masa yang sama, dapatan hasil siasatan lanjut tersebut yang merangkumi keseluruhan tempoh penubuhan serta operasi Yayasan Akalbudi, termasuk aliran dan sumbangan dana ke dalam yayasan berkenaan dari semasa ke semasa turut diambil kira.

“Keputusan ini dengan sekaligus membawa kepada penamatan muktamad kes berkenaan, selaras dengan kuasa dan budi bicara Peguam Negara di bawah Perlembagaan Persekutuan dan undang-undang berkaitan

“Jabatan ini menegaskan bahawa keputusan yang diambil adalah berasaskan pertimbangan profesional dan undang-undang, dengan mengambil kira kepentingan keadilan, integriti proses pendakwaan, serta keperluan untuk memastikan kepastian dan ketelusan dalam sistem keadilan jenayah,” ujar jabatan itu lagi.

Sumber: Jabatan Peguam Negara

The post Kes Dana Yayasan Akalbudi NFA – AGC appeared first on Siakap Keli.