
MELAKA – Pakatan Harapan (PH) Melaka menyasarkan untuk menambah penguasaan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang berbanding lima kerusi yang dimenanginya sebelum ini.
Pengerusi PH Melaka, Adly Zahari berkata, gabungan itu kini sedang menganalisis potensi kesemua 28 kerusi DUN bagi mengenal pasti kawasan yang mempunyai peluang terbaik untuk dimenangi.
Menurutnya, PH belum memuktamadkan jumlah kerusi yang bakal ditandingi, namun beberapa kawasan telah dikenal pasti untuk diberikan tumpuan berdasarkan kekuatan parti-parti komponennya.
“Fokus utama kita adalah untuk meningkatkan kemenangan dan buat masa ini kita ada lima kerusi dan kita cukup positif bahawa kita boleh menambah kerusi-kerusi yang boleh dimenangi.
“Kita ambil kira semua 28 kerusi di peringkat negeri dan dalam kalangan parti-parti PH, kita sedang melihat potensi kerusi utama yang boleh kita menangi,” katanya selepas menghadiri Program Santuni Madani Kementerian Pertahanan di Kolej Vokasional Melaka Tengah, Bukit Katil di sini, hari ini.
Dalam pada itu, Adly berkata, PH sentiasa terbuka untuk mengadakan rundingan dengan mana-mana pihak yang mempunyai aspirasi serta prinsip perjuangan yang selari.-KOSMO! ONLINE
The post 5 kerusi belum cukup, PH mahu tambah penguasaan di Melaka appeared first on Kosmo Digital.





