PBM yakin mampu menang beberapa kerusi DUN, Parlimen

LocalPolitics
9 Aug 2026 • 2:24 PM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: PBM yakin mampu menang beberapa kerusi DUN, Parlimen

KUALA LUMPUR: Parti Bangsa Malaysia (PBM) yakin mampu memenangi beberapa kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dan Parlimen sekiranya mengambil bahagian dalam pilihan raya akan datang.

Presidennya, Datuk Larry Sng Wei Shien berkata, PBM juga berpotensi mencatatkan prestasi lebih baik berbanding parti-parti kecil lain berdasarkan kekuatan akar umbi dan sokongan yang masih utuh khususnya di Malaysia Timur.

Bagaimanapun, Larry berkata, keputusan sama ada parti itu akan bertanding dalam pilihan raya akan datang hanya akan dibuat apabila tiba masanya.

Katanya, sebarang keputusan untuk menyertai gabungan politik atau menjalin kerjasama pilihan raya dengan parti lain juga perlu dibincangkan terlebih dahulu di peringkat dalaman PBM.

“Saya percaya PBM akan mencatatkan prestasi lebih baik berbanding beberapa parti kecil lain kerana kita mampu memenangi pilihan raya.

“Buat masa ini, perkara lebih penting adalah kita membawa suara hati rakyat. Sama ada kita akan bertanding dalam pilihan raya pada masa hadapan akan diputuskan apabila semakin hampir dengan pilihan raya,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat PBM, di sini hari ini.

Sementara itu, bekas pemimpin DAP yang juga ahli baharu PBM, Ronnie Liu Tian Khiew menolak tanggapan penyertaan parti itu dalam pilihan raya hanya akan menyebabkan perpecahan undi sehingga memberikan kelebihan kepada parti tertentu.

Beliau berkata, masih terlalu awal untuk menentukan kesan penyertaan PBM dan parti-parti baharu terhadap pola pengundian kerana sokongan rakyat tidak semestinya datang daripada satu kelompok atau penyokong parti tertentu sahaja.

Menurutnya, akses lebih luas kepada maklumat menerusi media sosial turut menjadikan rakyat semakin kritikal dalam menilai dasar, prestasi dan janji setiap parti sebelum membuat pilihan.

“Kita tidak boleh menganggap PBM hanya akan mengambil undi daripada satu pihak. Jangan memandang rendah kemampuan parti-parti baharu untuk menarik sokongan rakyat.

“Pengundi akhirnya akan menilai parti yang mampu menawarkan harapan lebih baik dan berpotensi menunaikan apa yang dijanjikan,” katanya. –UTUSAN

 

The post PBM yakin mampu menang beberapa kerusi DUN, Parlimen appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved