Hari Kebangsaan 2026 meriah, ribuan rakyat banjiri seluruh negara

31 Aug 2026 • 1:58 PM MYT
Media Selangor
Media Selangor

Berita dan isu semasa, inklusif untuk semua.

Hari Kebangsaan 2026 meriah, ribuan rakyat banjiri seluruh negara

KUALA LUMPUR, 31 OGOS: Sambutan Hari Kebangsaan 2026 berlangsung dalam suasana penuh semangat patriotik di kebanyakan negeri hari ini, dengan pelbagai acara dan perarakan diadakan bagi menyemarakkan kecintaan rakyat terhadap negara serta memperkukuh semangat perpaduan.

Bertemakan “Malaysia MADANI: Kesejahteraan Dinikmati”, sambutan peringkat kebangsaan di Dataran Putrajaya menjadi tumpuan utama dengan keberangkatan tiba Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim dan Raja Permaisuri Agong Raja Zarith Sofiah, selain dihadiri Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan barisan Jemaah Menteri.

Sambutan di Putrajaya dimulakan dengan istiadat ketenteraan, diikuti persembahan serta perarakan berwarna-warni yang menampilkan kepelbagaian dan aspirasi Malaysia MADANI, dengan kira-kira 80,000 pengunjung hadir memeriahkan acara.

Perarakan dan perbarisan itu melibatkan 10,819 peserta daripada 77 kontinjen serta menampilkan 328 aset, 22 kenderaan elektrik (EV), 112 aset hidup, 22 pasukan pancaragam dan 11 kereta berhias.

Di PERAK, sambutan Hari Kebangsaan 2026 peringkat negeri di pekarangan Dewan Bandaran Ipoh menyaksikan penyertaan 105 kontinjen membabitkan 5,884 peserta daripada pelbagai agensi dan jabatan kerajaan, pasukan beruniform, institusi pendidikan, badan berkanun serta pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

Kira-kira 50,000 pengunjung hadir menyaksikan perbarisan dan pelbagai persembahan termasuk koir, tarian, kebudayaan serta persembahan patriotik, selain pameran aset dan kenderaan pasukan keselamatan.

Sultan Perak Sultan Nazrin Shah dan Raja Permaisuri Perak Tuanku Zara Salim turut berkenan berangkat ke sambutan yang dimulakan dengan perarakan masuk kawalan kehormatan utama daripada Rejimen Askar Jurutera Diraja, 2 Divisyen.

Di KEDAH, Sultan Kedah Al Aminul Karim Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah berkenan berangkat ke sambutan Hari Kebangsaan yang diadakan di Dataran Medan Bandar, Alor Setar.

Raja Muda Kedah Tengku Sarafudin Badlishah Sultan Sallehuddin serta kaum kerabat yang lain turut berkenan hadir. Menteri Besar Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor, Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Seri Norizan Khazali dan barisan Anggota Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri juga hadir.

Sambutan dimeriahkan dengan kehadiran lebih 40,000 pengunjung dan dimulakan dengan nyanyian lagu negeri Allah Selamat Sultan sebelum Sultan Sallehuddin memeriksa kawalan kehormatan utama daripada Batalion Keenam, Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD) bersama Panji-Panji Rejimen.

Sambutan diteruskan dengan persembahan koir, persembahan tarian dan perbarisan kontinjen melintasi pentas utama dengan perarakan dan perbarisan disertai lebih 3,000 peserta daripada 96 kontinjen terdiri daripada pelbagai jabatan dan agensi kerajaan, sekolah, institusi pengajian tinggi, pasukan beruniform dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

Di NEGERI SEMBILAN, lebih 30,000 pengunjung pelbagai lapisan masyarakat membanjiri pekarangan Dataran Majlis Bandaraya Seremban, di sini seawal 5 pagi.

Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan Tuanku Muhriz Tuanku Munawir dan Tunku Ampuan Besar Tuanku Aishah Rohani Tengku Besar Mahmud turut berangkat mencemar duli pada majlis berkenaan.

Sebanyak 82 kontinjen membabitkan lebih 4,000 peserta menyertai perbarisan sambutan Hari Kebangsaan pada kali ini membabitkan pelbagai jabatan dan agensi kerajaan, badan berkanun, pentadbiran daerah, NGO, sekolah dan institut pengajian tinggi serta syarikat swasta.

Di TERENGGANU, perarakan 20 motosikal klasik daripada Kelab Honda Klasik Kuala Terengganu yang diketuai Presidennya Muhammad Syafiq Suresh mencuri tumpuan pengunjung yang menghadiri sambutan Hari Kebangsaan di Dataran Shahbandar, di sini.

Kira-kira 10,000 pengunjung hadir sejak awal pagi bagi menyaksikan perarakan merdeka yang disertai 3,500 peserta daripada 119 kontinjen termasuk jabatan Persekutuan dan negeri, syarikat berkaitan kerajaan, NGO, syarikat swasta, sekolah menengah dan badan berkanun dari seluruh negeri.

Pemangku Raja Terengganu Tengku Muhammad Ismail Sultan Mizan Zainal Abidin berkenan mengetuai sambutan hari kebangsaan kali ini.

Yang turut berangkat, Tengku Sri Setia Mahkota Raja Tengku Muhammad Mua'az Sultan Mizan Zainal Abidin dan Tengku Puteri Daulath Raja Tengku Fatimatuz Zahra Sultan Mizan Zainal Abidin.

Di MELAKA, sambutan di Jalan Persiaran Pantai, Klebang, menarik hampir 70,000 pengunjung dengan lintas hormat pesawat tempur dan pesawat pengangkut menjadi antara tarikan utama.

Yang Dipertua Negeri Melaka Tun Mohd Ali Rustam bersama-sama isteri Toh Puan Asmah Abd Rahman menghadiri sambutan yang turut disertai Ketua Menteri Datuk Seri Ab Rauf Yusoh dan isteri, Datin Seri Zuriyah Ab Aziz.

Antara yang mencuri perhatian ialah lintas hormat 10 pesawat terdiri daripada Sukhoi Su-30MKM, FA-18D Hornet dan Hawk 200, selain tiga pesawat pengangkut A400M dan C-130 Hercules.

Sambutan turut diserikan dengan persembahan udara termasuk aksi terjun bebas oleh pasukan keselamatan negara seperti Angkatan Tentera Malaysia (ATM) serta Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM).

Sementara itu, di SABAH, lebih 170 kontinjen menyertai perarakan Hari Kebangsaan peringkat negeri di Dataran Bandaraya, Jalan Tun Fuad Stephens, Kota Kinabalu, yang disaksikan ribuan pengunjung seawal 6 pagi.

Yang Dipertua Negeri Sabah Tun Musa Aman dan isteri Toh Puan Faridah Tussin, serta Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor dan isteri Datin Seri Juliah Salag, antara yang hadir menyaksikan sambutan yang dimulakan dengan persembahan koir sebelum diteruskan dengan perarakan Jalur Gemilang, bendera negeri dan kontinjen pelbagai agensi serta pertubuhan masyarakat.

Di PULAU PINANG, cuaca jerebu tidak menghalang lebih 10,000 pengunjung membanjiri pekarangan Padang Kota Lama, di sini seawal 7 pagi bagi menyaksikan perbarisan dan perarakan Hari Kebangsaan 2026 yang melibatkan 125 kontinjen meliputi 9,152 peserta daripada jabatan, agensi negeri dan Persekutuan, badan berkanun, anak syarikat serta NGO.

Sambutan dihadiri Yang Dipertua Negeri Tun Ramli Ngah Talib dan isteri Toh Puan Raja Noora Ashikin Raja Abdullah, Ketua Menteri Chow Kon Yeow serta barisan kepimpinan kerajaan negeri.

Sementara itu, di JOHOR, Majlis Perbarisan, Perarakan dan Perhimpunan Sambutan Hari Kebangsaan ke-69 yang berlangsung di Dataran Tanjung Emas, Muar disambut meriah dengan kehadiran lebih 10,000 Bangsa Johor pelbagai kaum.

Sebanyak 141 kontinjen terlibat dalam sambutan itu, dengan acara lintas hormat dimulakan oleh Pancaragam Briged Ketujuh Infantri Malaysia, Kem Mahkota Kluang, dan kontinjen Markas Pasukan Simpanan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), Pangkalan TLDM Johor Bahru, yang membawa Jalur Gemilang.

Menteri Besar Datuk Onn Hafiz Ghazi dalam ucapannya mengingatkan Bangsa Johor supaya sentiasa mengenang perjuangan generasi terdahulu selain bersama-sama memelihara keharmonian dan kesejahteraan negeri.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved