
KUALA PILAH – Lebih 500 jemaah menunaikan solat Jumaat bersama Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir di Masjid Diraja Tuanku Munawir di sini hari ini.
Keberangkatan baginda turut diiringi kedua-dua anakanda, Tunku Besar Seri Menanti, Tunku Ali Redhauddin serta Tunku Panglima Besar, Tunku Zain Al-’Abidin.
Solat Jumaat di masjid yang sedang dalam proses kerja-kerja naik taraf itu diimamkan Pegawai Eksekutif Masjid Diraja Tuanku Munawir, Abdul Rahman Ibrahim.
Terdahulu, Muhammad Afiq menyampaikan khutbah Jumaat bertajuk ‘Menyuburkan Kepercayaan Memelihara Rumahtangga’.
Selesai menunaikan solat Jumaat, Tuanku Muhriz bersama kedua-dua anakanda berkenan beramah mesra dengan jemaah sebelum menyampaikan sumbangan kepada kanak-kanak dan remaja yang hadir.
Dalam majlis sama, Ketua Sekretariat Taat Setia dan Sokong Tuanku Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan ke-11, Prof Dr Mohd Aluwi Sari menyerahkan memorandum menyatakan pendirian mereka untuk terus berdiri atas prinsip taat setia, Perlembagaan, Adat dan undang-undang.
Turut hadir, Setiausaha Kerajaan Negeri Sembilan, Datuk Mohd. Zafir Ibrahim.
Bagaimanapun, Mohd. Zafir enggan mengulas mengenai ketetapan pentadbiran Negeri Sembilan yang mengambil pandangan Jabatan Peguam Negara (AGC) bahawa ahli-ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) Negeri Sembilan tidak mempunyai bidang kuasa, autoriti mahupun kuasa di bawah Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan (UUTKNS) 1959 untuk membuat pengumuman berkenaan proklamasi tersebut.
Perkara itu susulan kenyataan Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Ismail Lasim berkaitan arahan untuk mewartakan proklamasi mengenai kedudukan Yang di-Pertuan Besar bertarikh 19 April 2026 yang diputuskan oleh MMKN Negeri Sembilan.- KOSMO! ONLINE
The post 500 jemaah solat Jumaat bersama Tuanku Muhriz appeared first on Kosmo Online.






