'Daulat Tuanku, tangkap penderhaka'

LocalPolitics
18 Sep 2026 • 3:36 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: 'Daulat Tuanku, tangkap penderhaka'
Tuanku Muhriz (tengah) berkenan menerima memorandum diserahkan oleh Mohd Aluwi. Foto SINAR HARIAN/SYAMILAH ZULKIFLI
Image from: 'Daulat Tuanku, tangkap penderhaka'
Tuanku Muhriz berangkat menunaikan solat Jumaat di Masjid Diraja Tuanku Munawir. Foto SINAR HARIAN/SYAMILAH ZULKIFLI
Image from: 'Daulat Tuanku, tangkap penderhaka'
Tuanku Muhriz menyampaikan sumbangan kepada kanak-kanak yang hadir solat Jumaat di Masjid Diraja Tuanku Munawir. Foto SINAR HARIAN/SYAMILAH ZULKIFLI

KUALA PILAH – Laungan ‘Daulat Tuanku, tangkap penderhaka’ bergema di Masjid Diraja Tuanku Munawir di sini sebaik keberangkatan pulang Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir selepas selesai menunaikan solat Jumaat.

Turut berangkat bersama baginda ialah kedua-dua anakanda, Tunku Besar Seri Menanti, Tunku Ali Redhauddin Tuanku Muhriz dan Tunku Panglima Besar Negeri Sembilan, Tunku Zain Al-‘Abidin Tuanku Muhriz.

Tuanku Muhriz sebelum itu berkenan menerima memorandum taat setia yang diserahkan oleh Ketua Sekretariat Taat Setia dan Sokong Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan ke-11, Profesor Dr Mohd Aluwi Sari.

Dalam memorandum berkenaan, dinyatakan 10 pendirian sekretariat terbabit dalam memastikan institusi Diraja, Perlembagaan dan Adat Perpatih terus dipertahankan, sekali gus memastikan keamanan serta keharmonian rakyat Negeri Sembilan.

Antara pendirian yang dinyatakan adalah mencadangkan kepada Dewan Keadilan dan Undang (DKU), bersama pihak berkuasa dan kerajaan negeri, agar memberikan penjelasan berdasarkan rekod rasmi mengenai perkara-perkara adat yang dipertikaikan.

“Rakyat Negeri Sembilan berhak mengetahui fakta yang sahih. Mohon pihak DKU membuat satu sidang media khas mengenai kemelut yang sedang berlaku.

“Jangan biarkan rakyat bergantung kepada khabar angin, video yang tidak disahkan atau kenyataan individu yang tidak mempunyai bidang kuasa dan kefahaman mengenai Adat Perpatih di negeri ini,” kata memorandum itu.

**media[3651417]**

Sementara itu, lebih 500 jemaah yang hadir menunaikan solat Jumaat di masjid berkenaan.

Turut hadir ialah Undang Luak Sungei Ujong, Muhammad Faris Johari dan Undang Luak Rembau, Hassan Ab Hamid.

**media[3651420]**

Selesai solat Jumaat, Tuanku bersama anakanda baginda menyampaikan sumbangan kepada kanak-kanak yang kebiasaan menjadi kelaziman baginda.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved