500 juta data pengguna WhatsApp didagang, lebih 11 juta daripada Malaysia

Technology
27 Nov 2022 • 5:55 PM MYT
SoyaCincau
SoyaCincau

For everything that matters in tech

image is not available

Sebanyak hampir 500 juta nombor telefon pengguna aktif WhatsApp didakwa sedang didagangkan di satu portal dalam talian, termasuklah data pengguna WhatsApp dari Malaysia. Seperti yang dilaporkan Cybernews, nombor telefon yang cuba dijual adalah pengkalan data yang mengandungi data pengguna daripada 84 negara dan 487 juta nombor telefon.

image is not available

Daripada tangkap layar yang dikongsikan sebanyak lebih 11.6 juta nombor telefon tersebut adalah pengguna Malaysia. Nombor telefon yang paling banyak adalah datangnya daripada tiga negara iaitu Mesir, Itali, dan A.S masing-masing 44.8 juta, 35.6 juta, dan 32.3 juta.

Bercakap mengenai harga, apabila dihubungi oleh Cybernews, penggodam mengatakan yang mereka menjual data-data itu pada harga yang berbeza. Contohnya pengkalan data A.S dijual pada harga USD7,000, U.K pada harga USD2,500 manakala Jerman pada USD2,000.

image is not available

Jutaan nombor telefon ini jika jatuh ke dalam tangan yang tidak bertanggungjawab boleh disalah guna seperti melakukan panggilan telefon untuk menipu. Kelebihan menggunakan data ini berbanding menekan nombor telefon secara rawak adalah nombor daripada WhatsApp adalah yang dipastikan aktif dan ia pastinya menjimatkan masa si penipu.

Tidaklah dapat dipastikan bagaimanakah pihak ini berjaya memperoleh data-data ini. Spekulasi ada mengatakan yang kaedah scrapping adalah yang paling berpotensi. Dalam satu insiden yang hampir serupa yang kami laporkan dalam bulan April 2021 lalu, Facebook mengakui yang lebih 500 juta data peribadi penggunanya tertiris, bukan disebabkan godam sebaliknya "dikikis" daripada pelayan mereka.