51 saksi Dipanggil Bantu Inkues Kematian Murid Tahun 4 Di Senawang

11 Aug 2026 • 3:58 PM MYT
Getaran
Getaran

Menampilkan laporan semasa & terkini yang mencakupi pelbagai aspek kehidupan

51 saksi Dipanggil Bantu Inkues Kematian Murid Tahun 4 Di Senawang

SEREMBAN - Seramai 51 saksi akan dipanggil memberi keterangan dalam inkues bagi menyiasat kematian seorang murid lelaki berusia 10 tahun yang ditemukan tidak sedarkan diri di tandas sebuah sekolah di Senawang, tahun lalu.

Pegawai Pengendali Inkues, Norazihah Asmuni memaklumkan jumlah saksi berkenaan ketika menjawab pertanyaan Koroner Tasnim Abu Bakar pada prosiding sebutan di Mahkamah Koroner Seremban, hari ini.

Menurutnya, saksi yang akan dipanggil termasuk guru, murid dan rakan sekolah mangsa yang dijangka memberi keterangan berkaitan keadaan serta kejadian yang membawa kepada kematian Iman Zhafran Abdullah.

Mahkamah kemudian menetapkan tujuh hari bagi prosiding inkues, masing-masing pada 14 dan 21 September, 5, 6 dan 7 Oktober serta 21 dan 28 Oktober.

Setiap prosiding dijadualkan bermula pada jam 2.30 petang.

Peguam Muhammad Yazid Mohamad Salim yang mewakili keluarga mangsa turut memohon mahkamah membenarkan pihaknya serta ibu bapa mangsa menyoal saksi sepanjang prosiding inkues.

Beliau turut memohon pertimbangan mahkamah untuk membenarkan pendedahan dokumen berkaitan, termasuk menyediakan salinan kepada pihak peguam dan keluarga mangsa.

“Pihak kami memahami sensitiviti bahawa dokumen berkenaan kekal di bawah kawalan peguam dan anak guam mereka,” katanya.

Bapa mangsa, Muhammad Hafizuddin Abdullah, 41, dan ibunya, Zuzita Murib Sagita, turut hadir di mahkamah hari ini.

Terdahulu, media melaporkan punca kematian murid Tahun Empat itu yang ditemukan tidak sedarkan diri di sekolah pada 2 Oktober 2025 adalah akibat tekanan pada bahagian leher.

Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Alzafny Ahmad sebelum ini berkata, bedah siasat yang dijalankan di Unit Perubatan Forensik Hospital Rembau mendapati tiada kecederaan lain pada tubuh mangsa.

Polis menerima laporan kira-kira jam 1.19 petang pada 2 Oktober tahun lalu ketika mangsa sedang menerima rawatan awal di sebuah pusat perubatan swasta berhampiran.

Mangsa disahkan meninggal dunia selepas ditemukan tidak sedarkan diri di tandas lelaki sekolah berkenaan. - Getaran, 11 Ogos 2026

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved