51 saksi dipanggil prosiding inkues murid tahun empat tidak sedarkan diri dalam tandas sekolah

11 Aug 2026 • 1:03 PM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: 51 saksi dipanggil prosiding inkues murid tahun empat tidak sedarkan diri dalam tandas sekolah

SEREMBAN: Seramai 51 saksi akan dipanggil bagi membantu prosiding inkues kematian seorang murid lelaki berusia 10 tahun yang ditemukan tidak sedarkan diri dalam tandas sebuah sekolah di Senawang, di sini pada Oktober tahun lalu.

Pegawai pengendali inkues, Norazihah Asmuni berkata, saksi berkenaan terdiri daripada guru, pelajar sekolah serta rakan kepada mangsa, Iman Zhafran Abdullah.

Katanya, keterangan kesemua saksi berkenaan akan membantu mahkamah mengetahui keadaan dan kejadian yang berlaku sebelum mangsa ditemukan tidak sedarkan diri.

Koroner, Tasnim Abu Bakar kemudian menetapkan tujuh hari untuk prosiding inkues berkenaan iaitu pada 14 dan 21 September, 5, 6 dan 7 Oktober serta 21 dan 28 Oktober ini.

Setiap prosiding ditetapkan bermula pukul 2.30 petang hingga 4.30 petang.

Pada prosiding hari ini, bapa mangsa, Muhammad Hafizuddin Abdullah, 41, dan ibu mangsa, Zuzita Murib Sagita turut hadir di Mahkamah Koroner di sini.

Sementara itu, peguam yang mewakili keluarga mangsa, Muhammad Yazid Mohamad Salim memohon kebenaran mahkamah supaya pihaknya dan ibu bapa mangsa dibenarkan memeriksa saksi yang dipanggil sepanjang prosiding inkues.

Beliau turut memohon budi bicara mahkamah untuk membenarkan penzahiran dokumen dengan satu salinan dokumen berkenaan diberikan kepada pihak peguam dan keluarga mangsa.

“Pihak kami memahami sensitiviti bahawa dokumen tersebut hanya akan berada dalam kawalan peguam dan anak guam,” katanya.

Pada 2 Oktober tahun lalu, media melaporkan seorang murid lelaki Tahun Empat ditemukan tidak sedarkan diri di dalam tandas sebuah sekolah di Senawang, di sini sebelum disahkan meninggal dunia.

Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Alzafny Ahmad dilaporkan berkata, hasil siasatan mendapati punca kematian mangsa disebabkan tekanan pada leher, selain kes berkenaan diklasifikasikan mengikut Seksyen 507C Kanun Keseksaan iaitu buli melalui komunikasi.

Beliau berkata, seramai 35 individu telah diambil keterangan bagi membantu siasatan kes berkenaan yang membabitkan murid, guru, kakitangan sekolah, doktor serta keluarga mangsa.-UTUSAN

The post 51 saksi dipanggil prosiding inkues murid tahun empat tidak sedarkan diri dalam tandas sekolah appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved