
NARATHIWAT (THAILAND): Selatan Thailand kembali bergolak apabila 51 insiden keganasan berlaku secara serentak membabitkan Narathiwat, Yala dan Pattani dalam tempoh hampir dua jam, malam tadi.
Serangan yang dipercayai didalangi kumpulan pemisah itu merangkumi pengeboman, pembakaran pejabat dan kenderaan kerajaan, letupan menara telekomunikasi, rompakan, letupan kedai serbaneka serta pembakaran tayar.
Jurucakap Pusat Operasi Keselamatan Dalam Negeri Wilayah 4 (ISOC 4) berkata, sehingga pukul 12 tengah malam, sebanyak 22 insiden direkodkan di Narathiwat, Yala (18) dan Pattani (11).
Katanya, dua orang awam berusia lingkungan 30-an cedera selepas kenderaan dinaiki mereka terkena bom buatan sendiri (IED) di Daerah Sungai Padi, Narathiwat antara pukul 8 hingga 8.45 malam.
“Susulan serangan terancang dipercayai didalangi kumpulan pemisah Selatan Thai, Pasukan Petugas Khas Narathiwat mengisytiharkan perintah berkurung di seluruh wilayah itu mulai pukul 10.15 malam hingga 6 pagi ini.
“Keputusan itu dibuat bagi memudahkan pasukan penyiasat polis dan tentera menjalankan siasatan rapi. Perintah berkurung peringkat kawasan juga dikenakan bagi menghalang orang ramai mendekati lokasi kejadian,” katanya ketika dihubungi.
Daripada 22 insiden di Narathiwat, lima berlaku di Rangae, Chanae (empat), Bacho (tiga), Tak Bai (dua) manakala masing-masing satu di Si Sakhon, Waeng, Mueang Narathiwat, Cho Airong, Sungai Golok, Yingo, Rueso dan Sungai Padi.
Di Yala pula, sembilan insiden berlaku di Thanto, Bannang Sata (tujuh) dan Raman (dua). Sementara itu, daripada 11 insiden di Pattani, masing-masing tiga berlaku di Yarang dan Nong Chik, Yaring (dua) dan masing-masing satu di Saiburi, Thung Yang Daeng dan Khok Po.
Jurucakap itu memberitahu, pihak berkuasa sedang menyiasat dan menilai keadaan di setiap lokasi.
“Lokasi kejadian telah dikepung dan anggota pasukan keselamatan sedang mengumpul maklumat serta bukti berkaitan untuk prosiding undang-undang.
“Walaupun semua kejadian tidak melibatkan kawasan tumpuan pelancong, pihak berkuasa mengarahkan stesen minyak, kedai serbaneka dan premis berisiko tinggi di dalam serta sekitar bandar ditutup serta-merta,” katanya. – UTUSAN
The post 51 serangan serentak gegarkan Selatan Thailand appeared first on Utusan Malaysia.






