
NARATHIWAT, THAILAND – Selatan Thailand kembali bergegar apabila 51 insiden keganasan berlaku secara serentak membabitkan Narathiwat, Yala dan Pattani dalam tempoh hampir dua jam pada malam tadi.
Serangan yang dipercayai didalangi kumpulan pemisah itu merangkumi pengeboman, pembakaran pejabat dan kenderaan kerajaan, letupan menara telekomunikasi, rompakan, letupan kedai serbaneka serta pembakaran tayar.
Jurucakap Pusat Operasi Keselamatan Dalam Negeri Wilayah 4 (ISOC 4) berkata, sehingga pukul 12 tengah malam tadi, sebanyak 22 insiden direkodkan di Narathiwat, 18 serangan di Yala dan 11 di Pattani.
Menurutnya, dua orang awam berusia dalam lingkungan 30-an cedera selepas kenderaan yang mereka naiki terkena bom buatan sendiri (IED) di Daerah Sungai Padi di sini kira-kira pukul 8 hingga 8.45 malam.
“Susulan serangan terancang itu, Pasukan Petugas Khas Narathiwat mengisytiharkan perintah berkurung di seluruh wilayah itu bermuka pukul 10.15 malam hingga 6 pagi tadi.
“Keputusan itu dibuat bagi memudahkan pasukan penyiasat polis dan tentera menjalankan siasatan rapi. Perintah berkurung peringkat kawasan juga dikenakan bagi menghalang orang ramai mendekati lokasi kejadian,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Menurutnya, daripada 22 insiden di Narathiwat, lima berlaku di Rangae, Chanae (empat), Bacho (tiga), Tak Bai (dua) manakala masing-masing satu di Si Sakhon, Waeng, Mueang Narathiwat, Cho Airong, Sungai Golok, Yingo, Rueso dan Sungai Padi.
Katanya, di Yala pula, sembilan insiden berlaku di Thanto, tujuh serangan di Bannang Sata dan dua di Raman.
“Daripada 11 insiden di Pattani, masing-masing tiga berlaku di Yarang dan Nong Chik selain dua di Yaring manakala masing-masing satu di Saiburi, Thung Yang Daeng dan Khok Po.
“Pihak berkuasa sedang menyiasat dan menilai keadaan di setiap lokasi insiden yang telah dikepung dan anggota pasukan keselamatan sedang mengumpul maklumat serta bukti berkaitan untuk prosiding undang-undang,” katanya.
Jurucakap itu memberitahu, meskipun kesemua kejadian tidak melibatkan kawasan tumpuan pelancong, pihak berkuasa mengarahkan stesen minyak, kedai serbaneka dan premis berisiko tinggi di dalam atau sekitar bandar ditutup serta-merta.
Katanya, amaran tahap tinggi turut dikeluarkan kepada semua anggota keselamatan, manakala orang ramai diminta berhati-hati. – KOSMO! ONLINE
The post 51 serangan serentak gegarkan Selatan Thailand appeared first on Kosmo Digital.






