548 penduduk terima geran tanah selepas puluhan tahun

LocalPolitics
6 Sep 2025 • 6:27 PM MYT
Daily Express
Daily Express

Daily Express Online (Malaysia) is Sabah's top-ranked & most viewed English news site. It is also Sabah's leading & most circulated daily English newspaper.

image is not available

Sook: Penantian puluhan tahun 548 penduduk di beberapa kampung di daerah ini untuk memiliki hak milik tanah berakhir apabila mereka menerima geran masing-masing.

Daripada jumlah itu, 224 penerima adalah di bawah pengukuran Program Perkhidmatan Tanah Adat Negeri Sabah (Pantas), 238 penerima melalui pengukuran geran biasa, manakala 86 lagi membabitkan pemilikan hak milik peserta peneroka Skim Safoda Karamatoi.

Majlis Penyerahan Geran dan Pemilikan Hak Milik Tanah itu disempurnakan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Sook, Datuk Ellron Angin di Dewan Masyarakat Sook, Khamis lalu.

Bercakap kepada media selepas majlis itu, Menteri Belia dan Sukan itu berharap semua penerima dapat mengusahakan tanah mereka sebaik mungkin.

“Kita harapkan mereka dapat mengusahakan tanah ini dan jangan menjualnya kerana pada masa sekarang agak sukar untuk memiliki tanah, semakin kecil keluasan yang boleh dimiliki.

“Jika diusahakan, tanah ini mampu memberikan hasil yang baik untuk mereka sekeluarga,” katanya.

Ellron turut memberi jaminan akan terus bekerjasama dengan Jabatan Tanah dan Ukur bagi memastikan lebih ramai penduduk di daerah ini memperoleh hak milik tanah.

“Saya difahamkan masih ada permohonan tanah yang sudah diluluskan dan mungkin dalam tempoh tiga atau empat bulan lagi, geran-geran yang dipohon sejak 2018 hingga 2025 akan dapat diserahkan kepada pemiliknya,” tambah beliau.

Sementara itu, penerima melahirkan rasa syukur kerana penantian berpuluh tahun mereka berakhir dengan berita gembira yang memberi peluang baharu untuk meningkatkan taraf hidup serta menjamin masa depan keluarga.

Turut hadir, Pemimpin Pembangunan Masyarakat (PPM) Sook Tony Talasoi, pegawai kanan Jabatan Tanah dan Ukur, ketua jabatan serta pemimpin masyarakat setempat.