
KUALA LUMPUR – Seramai 55 individu termasuk 46 warga China ditahan dalam dua serbuan berasingan menerusi Op Tembok 01/2026 di ibu negara semalam.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Fadil Marsus berkata, serbuan pertama di sebuah pusat hiburan di Jalan Chan Sow Lin membawa kepada penahanan 50 individu berusia 19 hingga 44 tahun.
Mereka terdiri daripada seorang lelaki warga tempatan, 21 lelaki warga China yang merupakan pelanggan, lima lelaki warga China dipercayai pekerja premis dan 23 wanita warga China yang disyaki bekerja sebagai pelayan khidmat pelanggan.
“Hasil serbuan dan pemeriksaan mendapati premis tersebut tidak mempunyai lesen hiburan yang sah atau sebarang kelulusan daripada pihak berkuasa untuk menjalankan perniagaan pusat hiburan.
“Selain itu, pihak polis mendapati pekerja daripada warganegara asing bekerja tanpa permit yang sah, tidak mempunyai dokumen perjalanan diri yang sah dan disyaki berperanan sebagai pelayan khidmat pelanggan,” katanya dalam kenyataan semalam.
Dalam serbuan kedua di sebuah kediaman di Persiaran KLCC, polis menahan lima lelaki berusia 27 hingga 44 tahun yang dipercayai terbabit dalam perjudian haram jenis ‘Chinese Poker’.
Fadil berkata, kediaman itu dipercayai dijadikan lokasi perjudian sejak tiga bulan lalu dengan kegiatan berlangsung setiap hari antara pukul 1 hingga 3 pagi.
Katanya, polis turut merampas peralatan perjudian serta wang pertaruhan berjumlah RM3,870.
Kedua-dua kes disiasat mengikut Seksyen 4(1) Akta Hiburan (Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur) 1992, Seksyen 6(1) Akta Rumah Perjudian Terbuka 1953 serta peruntukan berkaitan di bawah Akta Imigresen 1959/63.
Lima suspek kes perjudian dibenarkan direman selama tiga hari sehingga 26 Oktober ini bagi membantu siasatan.
Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kegiatan jenayah boleh menghubungi Hotline Kuala Lumpur di talian 03-2115 9999 atau balai polis berhampiran.-KOSMO! ONLINE
The post 55 ditahan dalam Op Tembok serbu pusat hiburan, lubuk judi appeared first on Kosmo Online.






