
PETALING JAYA – Seramai 34 individu termasuk warga China dan Taiwan ditahan dalam serbuan terhadap sebuah pusat operasi sindiket penipuan pelaburan di Klebang Kechil, Melaka, semalam, yang dipercayai aktif sejak tiga bulan lalu.
Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Zakaria Shaaban berkata, operasi khas pada pukul 10.35 pagi itu dijalankan Bahagian Perisikan dan Operasi Khas Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) dengan kerjasama Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) serta JIM Melaka.
“Seramai 29 lelaki dan dua wanita warga China serta seorang lelaki warga Taiwan berusia antara 20 hingga 51 tahun ditahan.
“Turut ditahan dua lelaki tempatan berusia 22 dan 32 tahun yang dipercayai bertindak sebagai penjaga premis berkenaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, pemeriksaan awal mendapati tiga lelaki warga China ditahan kerana tinggal lebih masa, manakala warga asing lain dipercayai tidak memiliki dokumen perjalanan atau pas yang sah untuk berada di negara ini.
Operasi itu menyaksikan rampasan 309 telefon bimbit, 45 komputer, lima penghala, tiga pasport China dan peralatan lain termasuk 21 buku nota arahan penipuan, dengan nilai keseluruhan RM318,600.
Zakaria berkata, sindiket itu menggunakan premis homestay sebagai pusat operasi untuk memperdaya warga Korea menerusi media sosial dan aplikasi komunikasi dengan tawaran pelaburan berpulangan tinggi dalam tempoh singkat.
Operator sindiket dibahagikan kepada tiga tugas utama, iaitu mengendalikan khidmat pelanggan, menguruskan maklumat pelaburan dan menyimpan data pelanggan.
“Hasil soal siasat mendapati operator terbabit tidak dibenarkan keluar dari premis sepanjang tempoh bekerja, manakala bekalan makanan dihantar oleh dua lelaki tempatan yang turut ditahan,” katanya.
Kedua-dua lelaki tempatan itu dipercayai dibayar RM3,000 untuk menjaga premis dan mengawasi pekerja sindiket berkenaan.
Dua lelaki tempatan berkenaan disiasat mengikut Seksyen 56(1)(d) Akta Imigresen 1959/63, manakala warga asing terbabit disiasat mengikut Seksyen 6(1)(c) dan Seksyen 15(1)(c) akta sama. – KOSMO! ONLINE
The post ‘Call centre’ pelaburan palsu diserbu, 34 ditahan appeared first on Kosmo Online.






